Tekanan Emosi Guru & Gangguan Emosi Murid


1.0 Tekanan emosi guru
Menurut Noriati A. Rashid et al (2010), stress merupakan tindak balas fizikal yang biasa terhadap sesuatu perkara yang boleh menyebabkan berlakunya ketidak seimbangan perasaan. Tekanan guru pula didefinisikan sebagai keadaan atau situasi tidak menyenangkan yang dialami oleh guru. Situasi tidak menyenangkan ini mempengaruhi emosi yang tidak diingini seperti tekanan, kekecewaan, kebimbangan kemarahan dan kemurungan. Perkara seperti ini akan mendatangkan kesan negatif terhadap sistem pendidikan kebangsaan untuk mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Namun begitu, tahap stress bergantung kepada kemahiran menguruskan emosi seseorang individu. Individu yang sentiasa berfikiran positif akan menganggap stress sebagai cabaran atau pun batu loncatan untuk mencapai kejayaan. Individu yang mempunyai pemikiran yang negative akan melihat stress itu sebagai halangan dan rintangan seterusnya menjejaskan kualiti dan produktiviti kerja. Menurut Seyle (1976) dalam Tajulashikin et al (2013) menyatakan bahawa stress memberi makna yang berbeza bagi individu yang berbeza.

2.0 Langkah-langkah menangani tekanan dalam kalangan guru
Guru memainkan peranan utama dalam melaksanakan system pendidikan kebangsaan untuk mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan seterusnya membangunkan system pendidikan bertaraf dunia. Hal ini menyebabkan guru perlu berusaha lebih keras dan memberikan komitmen sepenuhnya dalam meningkatkan kualiti dan produktiviti kerja mereka. Oleh itu guru-guru perlu didedahkan mengenai cara untuk menguruskan dan menangani tekanan.

Mengkaji semula beban tugas guru
Beban tugas berlebihan merupakan salah satu punca tekanan yang dihadapi oleh kalangan guru. Pihak kementerian perlu menjalankan kajian ataupun soal selidik untuk mengenal pasti punca dan penyelesaian kepada masalah ini. Bebanan tugas secara berlebihan akan menekan emosi kalangan guru seterusnya menyebab hilangnya fokus utama guru terhadap tugas-tugas hakiki mereka yang sepatutnya lebih diutamakan.
Lemaire (2009) dalam Tajulashikin et al. (2013) mendapati bahawa, guru-guru terlalu dibebankan dengan tugas-tugas yang tidak berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran seperti, aktiviti kokurikulum, menghadiri mesyuarat, mengendalikan program-program pelajar, mengurus karenah dan kebajikan pelajar serta, tugas-tugas pengurusan. Kakitangan tambahan perlu ditempatkan di sekolah-sekolah untuk melakukan tugas-tugas pentadbiran yang terpaksa dilakukan oleh guru seperti mengutip yuran persekolahan, menyediakan fail dan tugas pentadbiran yang diluar skop pengajaran dan pembelajaran.

Sokongan pihak pentadbiran
Transformasi bidang pendidikan pada hari ini berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 sememangnya memerlukan guru lebih komited dan produktif dalam meningkatkan kualiti kerja mereka. Namun, pihak pentadbiran perlu sekolah perlu sentiasa menyokong dan mendorong guru-guru untuk mencapai matlamat transformasi tersebut. Menurut Mohd Firdaus Zakaria dan Norsiah Mat (2018), galakkan dan perhatian daripada pemimpin adalah penting dalam membantu orang bawahan mereka mengekalkan semangat dan motivasi bagi mencapai objektif yang telah di tetapkan oleh ketua.
Pihak pentadbir juga perlu membahagikan tugas-tugas secara adil kepada guru-guru. Hal ini kerana tugas guru pada masa kini bukanlah semata-mata di dalam bilik darjah malah di luar bilik darjah serta diluar waktu persekolahan. Pentadbir sekolah juga disarankan supaya menyampaikan arahan yang jelas dan lengkap kepada guru-guru sekolah agar konflik dan kekaburan peranan dalam kalangan guru dapat dielakkan. Menurut Punanesvaran (2000) dalam Tajulashikin et al (2013) yang mengkaji hubungan beban kerja dengan stres guru di sekolah rendah mendapati bahawa faktor beban kerja yang diberi oleh pihak pentadbir secara tidak adil telah menyebabkan guru berasa stres kerana terpaksa membuat kerja yang lebih dalam masa yang singkat.

Persekitaran suasana kerja yang kondusif
Persekitaran dan suasana kerja yang kondusif dan harmoni mampu membantu mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh guru. Suasana kerja yang kondusif merangkumi kemudahan-kemudahan yang disediakan kepada guru dan hubungan positif antara rakan sekerja.
            Suasana kerja yang tidak harmoni dan kondusif boleh mengganggu emosi dan semangat guru untuk bekerja sekali gus merosakkan kualiti kerja mereka. Schonfeld (2001) dalam Mohd Fadzli Abu Bakar et al (2005) menjalankan kajian yang menyatakan bahawa kemerosotan persekitaran kerja adalah menyumbang kepada keletihan dan kemurungan guru. Suasana kerja yang harmoni serta kondusif akan menceriakan dan menaikkan semangat guru semasa berkerja. Contohnya, kemudahan bilik guru dan tempat rehat yang baik dan selesa perlu disediakan untuk memudahkan guru melakukan kerja serta merancang pengajaran dan pembelajara dengan lebih sempurna.
Perhubungan yang positif antara guru juga perlu diwujudkan untuk mengurangkan tekanan emosi yang dihadapi oleh guru. Pihak sekolah perlu melaksanakan program yang dapat mengeratkan hubungan antara guru di sesebuah sekolah. Perhubungan yang positif ini secara tidak langsung akan mewujudkan persekitaran yang sihat dan harmoni. Perhubungan yang positif dapat menimbulkan kepercayaan guru terhadap rakan sekerja mereka. Sehubungan dengan itu, guru dapat berbincang mengenai masalah yang dihadapi oleh mereka dengan rakan yang lain untuk mencari jalan penyelesaian.

Menganjurkan bengkel pengurusan emosi kepada guru
Pihak atasan seperti Jabatan Pendidikan Negeri boleh menyarankan kepada pentadbir-pentadbir sekolah supaya mengadakan bengkel pengurusan emosi kepada guru-guru. Bengkel seperti ini memainkan peranan supaya guru dapat mengawal perasaan dan emosi mereka semasa menghadapi sesuatu masalah terutamanya di tempat kerja. Konflik yang berlaku di tempat kerja juga menjadi punca tekanan dalam kalangan guru. Oleh itu, guru perlu dibekalkan dengan pengetahuan dan kemahiran untuk berdepan masalah-masalah yang sering dihadapi oleh mereka saban hari.
Setiap guru menghadapi pelbagai masalah yang berbeza dan mungkin wujudnya konflik di tempat kerja yang akan memberikan tekanan kepada guru. Melalui bengkel yang dianjurkan ini guru akan bersikap lebih profesional dan dapat menyelesaikan sebarang masalah secara baik dan efektif.  Menurut D’Oosterlinck & Broekaert (2003) dalam Lee Li Ju (2013) menyatakan Pelaksanaan program pengurusan konflik di sekolah secara langsung atau tidak langsung dapat mempengaruhi iklim sosial dan membuat penambahbaikan atmosfera sekolah. Kesan daripada penganjuran bengkel ini dapat menambah baik hubungan antara guru-guru dan staf sokongan serta pihak pentadbiran. Hubungan positif yang Berjaya diwujudkan ini akan menjadikan persekitaran kerja lebih kondusif dan harmoni. Menurut Lee Li Ju (2013), kesedaran tentang pengurusan konflik yang berkesan dapat mendorong kepada penambahbaikan hubungan antara pentadbir sekolah dengan guru-guru di samping mewujudkan iklim sekolah yang positif dan kondusif. Hubungan positif antara guru dan warga sekolah yang positif juga dapat menjadikan guru sentiasa bersemangat dan ceria untuk bekerja. Kegembiraan dan semangat untuk bekerja ini dapat meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja guru.
           
3.0 Langkah-langkah menangani gangguan emosi pelajar
Guru dan ibu bapa perlu meletakkan harapan mengikut kemampuan murid
Setiap ibu bapa dan guru sudah pasti mahu melihat anak mereka berjaya dalam pelajaran mereka. Namun begitu, sikap sesetengah ibu bapa dan guru-guru yang meletakkan harapan yang terlalu tinggi serta di luar kemampuan pelajar boleh menyebabkan gangguan emosi kepada pelajar. Pelajar akan merasakan mereka telah gagal sekiranya tidak mencapai dan memenuhi kemahuan ibu bapa mereka yang tinggi menggunung. Sehubungan dengan itu, murid akan berisiko tinggi untuk mengalami kemurungan kerana mereka merasakan mereka adalah seorang yang gagal. Menurut Mohd Farhan dan Uzair (2008) dalam Norhayati Ya’acob (2013), faktor utama yang menyebabkan kemurungan pelajar adalah faktor kepenatan diikuti oleh faktor motivasi akademik, kognitif dan emosi.
Pihak ibu bapa dan guru sepatutnya berbincang bersama-sama dari semasa ke semasa mengenai solusi kepada permasalahan yang dihadapi oleh anak mereka dalam pelajaran. Ibu bapa perlu diberi maklumat tentang masalah yang dihadapi oleh anak mereka. Sokongan dan dorongan ibu bapa seperti ini amat diperlukan untuk meningkatkan motivasi kendiri pelajar. Sehubungan dengan itu, pelajar akan berasa lebih bertanggungjawab untuk menggembirakan kedua ibu bapa dengan mencapai keputusan yang terbaik dalam pelajaran tanpa sebarang tekanan dan paksaan.

Guru perlu mahir dalam kawalan bilik darjah
Guru perlu melengkapkan dan menambah baik kemahiran kawalan bilik darjah mereka. Guru perlu menetapkan peraturan-peraturan semasa di dalam bilik darjah. Peraturan-peraturan tersebut perlu dijelaskan dan mendapat persetujuan daripada pelajar. Penetapan peraturan ini akan membantu guru untuk mengawal kelas dengan lebih efektif. Hal ini kerana pelajara sudah tahu sebab dan akibat sekiranya mereka melanggar peraturan-peraturan tersebut.
Guru juga perlu menggunakan pelbagai kaedah dan pendekatan semasa melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Pendekatan dan kaedah yang sesuai dapat membantu guru menguruskan pelajar di dalam kelas dengan lebih baik. Hal ini kerana pelajar tidak akan kebosanan kerana pengajaran oleh guru tersebut dapat menarik minat dan perhatian mereka.  Menurut Shahizan dan Ahmad Shahabudin (2006) dalam Rizalina Mat Radzi (2014) menyatakan guru perlu menggunakan pelbagai pendekatan atau strategi yang sesuai dalam perkembangan diri, kebolehan, keupayaan, bakat serta minat kanak-kanak.

Menganjurkan ceramah pengurusan emosi kepada murid-murid
Murid-murid sekolah perlu didedahkan dengan stres dan gangguan emosi serta cara untuk menguruskannya. Pendedahan awal ini untuk mengatasi stres ini dapat mengelakkan murid daripada gangguan emosi yang serius contohnya kemurungan. Pendedahan awal akan membantu murid untuk mengatasi masalah ini seperti murid akan memcari seseorang yang boleh dipercayai untuk menluahkan tekanan tersebut. Murid juga akan mencari seseorang untuk mendapatkan nasihat yang dapat membantu mereka untuk keluar daripada masalah yang dihadapi. Hal ini kerana gangguan emosi ini boleh menyebabkan murid terjebak dengan gejala-gejala yang tidak sihat seperti merokok, penyalahgunaan dadah, lumba haram dan bunuh diri. Menurut Nor Hayat Ya’acob (2013) gangguan kemurungan adalah berberapa bentuk penyakit kejiwaan,kecanduan dadah, gangguan tidur, gangguan pada kulit, perut dan tekanan darah dan akhirnya boleh bertindak agresif seperti membunuh orang atau membunuh diri.
Penganjuran ceramah pengurusan emosi ini juga dapat mempromosikan khidmat bimbingan dan kaunseling di sekolah. Persepsi murid terhadap murid yang mendapatkan khidmat bimbingan dan kaunseling merupakan murid yang nakal hendaklah diperbetul. Murid perlu dijelaskan bahawa khidmat bimbingan dan kaunseling diwujudkan untuk membantu mereka sekiranya memerlukan nasihat dan bimbingan terhadap permasalahan yang dihadapi. Persepsi yang salah terhadap murid yang yang mendapatkan khidmat kaunseling ini menyebabkan murid takut untuk mendapatkan nasihat dan akhirnya masalah yang dihadapinya itu dipendam tanpa penyelesaian.

Pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani
Masyarakat masa kini terlalu mementingkan akademik murid tanpa mengambil kira aspek kokurikulum dan aktiviti luar bilik darjah juga boleh menyebabkan gangguan emosi kepada murid. Waktu pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani sepatutnya dapat membantu murid-murid untuk melepaskan dan meluahkan tekanan mereka melalui pergerakan-pergerakan mereka.
Terdapat guru-guru yang menggunakan waktu pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani untuk mengulang kaji pelajaran terutamanya murid yang bakal menghadapi peperiksaan awam. Tindakan seperti ini akan menyebabkan gangguan emosi murid kerana terlalu fokus kepada akademik semata-mata. Tindakan sebegini seolah-olah guru tersebut tidak menunaikan hak mereka kepada murid. Hal ini kerana matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah untuk melahirkan murid-murid yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Perkembangan murid yang ingin dicapai adalah secara menyeluruh dan bukannya tertumpu kepada aspek intelek semata-mata. Menurut kajian yang dilakukan oleh Che Ahmad Taziri (2013) dalam Mohd Zairi Husain (2016), pengabaian mata pelajaran Pendidikan Jasmani boleh menjurus kepada ketidakseimbangan perkembangan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial pelajar. Hal ini kerana tumpuan kepada akademik semata-mata tidak menjamin perkembangan murid secara holistik malah akan menyebabkan semangat dan jati diri murid merosot.
Aktiviti-aktiviti yang dilakukan semasa pengajaran dan Pendidikan Jasmani dapat membantu murid melupakan tekanan yang dihadapi oleh mereka. Aktiviti Pendidikan Jasmani yang menyeronokkan dapat mengembalikan semangat dan keceriaan murid di sekolah. Aktiviti Pendidikan Jasmani yang memerlukan murid bersosial antara satu sama lain juga dapat merapatkan hubungan antara murid seterusnya mewujudkan kepercayaan sesame mereka. Hal ini akan memudahkan murid untuk mencari seseorang yang boleh dipercayai untuk berkongsi masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka. Sehubungan dengan itu, risiko murid untuk menghadapi gangguan emosi dapat dikurangkan.

Bibliografi

Fadzli Abu Bakar, Janet. H.S.C., Irdiana Syeriza Hussein & Nazrah Jamaludin. (2005). Tekanan Guru Dalam Pendidikan Dan Resolusi Penyelesaiannya. Prosiding Seminar Pendidikan UTM. Pp. 1-11
Lee. L.J. (2013). Pengurusan Konflik Dalam Kalangan Guru Di Empat Buah Sekolah Rendah Zon Tenang Di Daerah Segamat, Johor. Tesis yang tidak diterbitkan. Universiti Teknologi Malaysia.
Mohd Firdaus Zakaria & Norsiah Mat. (2018). Kesan Kepemimpinan Transformasi Pengetua Ke Atas Keseimbangan Kerja Dan Kehidupan Guru. International Academic Research Journal of Social Sciences, 4(1), 19-27.
Mohd Zairi Husain. (2016). Pembangunan Model Konsep Standard Pengajaran Guru Pendidikan Jasmani Berorientasikan Amalan Dan Kluster Perwatakan Guru. Tesis Kedoktoran yang tidak diterbitkan. Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Johor Darul Takzim. 
Norhayati Ya’acob. (2013). Kajian Terhadap Faktor Kemurungan Bagi Pelajar Darjah Empat, Darjah Lima Dan Darjah Enam Di Tiga Buah Sekolah Agama Daerah Johor Bahru, Johor Darul Ta’zim. Tesis yang tidak diterbitkan. Open University Malaysia.
Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying, Sharifah Fakhriyah Syed Ahmad & Zuraidah A. Majid. (2010). Guru Dan Cabaran Semasa. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Rizalina Md Radzi. (2014). Peranan Guru Dan Ibu Bapa Merangsang Perkembangan Sosioemosi Kanak-Kanak Melalui Aktiviti Bermain. Tesis Sarjana yang tidak diterbitkan. Universiti Pendidikan Sultan Idris, Perak Darul Ridzuan.
Tajulashikin Jumahat, Fazura Mohd Noor & Mohd Burhan Ibrahim. (2013). Faktor-Faktor Penentu Stres Dalam Kalangan Guru:Sekolah Rendah Mubaligh Di Kuala Lumpur. Jurnal Kurikulum & Pengajaran Asia Pasifik, 1(2).

No comments:

Post a Comment