MOTIVASI

Iktibar daripada Sebatang Pensel

Pernah seorang anak lelaki bertanya kepada ibunya yang sedang menulis.
     "Apa ibu sedang tulis?Ibu menulis tentang siapa? atau pengalaman ibu?"
     "Ibu menulis tentang diri kamu, tapi ada yang lebih penting daripada itu iaitu pensel ini."
     "Apa yang istimewa tentang pensel ini?" tanya si anak.
     "Ibu berharap hidupmu adalah seperti pensel,ada 5 nilai yang boleh kita pelajari daripadanya."

Pertama, pensel ini mengingatkan jika kamu boleh membuat sesuatu yang hebat dalam hidup ini. jangan lupa, ibarat pensel, ada tangan yang memegangnya. Maka, ingatlah akan ada kuasa yang membimbing langkah hidupmu iaitu Allah s.w.t. Dia akan selalu membimbing kita menurut kehendak-Nya.

Kedua, ketika menulis, pensel kerap kali menjadi tumpul. Ibu terpaksa berhenti untuk mengasahnya. Pensel ini pasti menderita ketika diraut, tetapi hasilnya ia menjadi tajam dan bagus tulisannya. Begitu juga dengan apa yang berlaku dalam hidup kamu. Kamu mesti berani menempuh kesusahan kerana ia menjadi baja atau sebab untuk dirimu menjadi lebih baik.
                    "penderitaan membina keperibadian"  

Ketiga, pensel ini mungkin menghasilkan tulisan yang salah. namun kita boleh memadamkan dan betulkan tulisan ini semula. Begitulah juga yang ibu harapkan kepada anak ibu ini, sentiasalah memperbaiki kesalahan dalam hidup. Ia bukanlah sesuatu yang hina kerana dengan memperbaiki kesalahan, kita akan sentiasa berada di jalan yang benar.

Keempat, tahukah kamu mana yang lebih penting; luar atau isi pensel ini? sudah tentu arang atau karbon di dalamnya. oleh sebab itu, berhati-hatilah dengan apa yang tidak baik dalam diri kamu itu dan hindarilah.

Kelima, pensel ini selalu meninggalkan tanda dan goresan. begitu juga kamu, apa yang kamu lakukan mesti ada kesannya kepada diri kamu atau pada orang lain. selalulah berhati-hati dan bijaklah semasa membuat sesuatu tindakan.

sumber: Majalah Solusi












KISAH MOTIVASI DARIPADA SEORANG LELAKI TUA



     Pada zaman dahulu, ada seorang pak cik tua yang miskin, bersama seorang anak dan seekor kuda betina. Pada suatu hari, kuda pak cik ini telah hilang. maka datanglah penduduk kampung untuk mengucapkan takziah atas kehilangan kuda pak cik itu.tetapi pak cik itu hanya membalas, "Yang tidak baik tidak semesti tidak baik dan yang baik tidak semestinya baik". penduduk kampung hanya menganggap pak cik ini hanya berfalsafah.

     Tidak lama kemudian kuda pak cik ini pulang bersama 5 ekor kuda jantan. dan sekarang pak cik itu mempunyai 6 ekor kuda. kemudian datanglah penduduk kampung mengucapkan tahniah. kemudian pak cik ini berkata :"Yang tidak baik tidak semesti tidak baik dan yang baik tidak semestinya baik". penduduk hanya menganggap pak cik ni hanya berfalsafah.

     Pada suatu hari, anak pak cik ini cuba menjinakkan kuda ini, malangnya salah seekor kuda itu telah menendangnya hingga cacat. Kemudian datanglah penduduk kampung mengucapkan takziah, tetapi pak cik hanya mengulang ayat yang sama,"Yang  tidak baik tidak semesti tidak baik dan yang baik tidak semestinya baik".

     Selepas itu, kerajaan mengarahkan semua pemuda di negeri tersebut untuk menyertai peperangan. Anak pak cik itu bernasib baik kerana tidak terpilih disebabkan cacat dan ditakdirkan semua pemuda yang menyertai peperangan itu kesemua mati dalam peperangan. Maka, gadis-gadis yang ada di kampung itu terpaksa memilih anak pak cik itu untuk berkahwin. maka anak pak cik itu mendapat gadis dari keluarga yang kaya. Kemudian datanglah penduduk kampung mengucapkan tahniah. Kemudian pak cik itu berkata, bukankah aku sudah katakan kepada kamu, "Yang tidak baik tidak semesti tidak baik dan yang baik tidak semestinya baik".

     Kesimpulan, setiap perkara baik yang kita kehendaki itu baik bagi kita dan bukan setiap perkara buruk itu buruk bagi kita. Mungkin apa yang kita terima itu adalah yang terbaik buat kita. Manusia hanya merancang mengikut cita-cita, tetapi Allah akan mengatur segalanya yang terbaik buat kita dengan cintaNya.








AKU DAH PENAT BERDOA
Siapa yang tidak pernah rasa sedih? Siapa yang tidak pernah kecewa? Rasulullah S.A.W sendiri pernah rasa kecewa dan pernah berada dalam keadaan yang sangat sedih. Setiap orang pernah diuji dengan pelbagai dugaan berbentuk perasaan. Sedih, resah, adakalanya gembira dan ketawa dan pastinya tidak mampu terlepas dari perasaan kecewa juga.
Kecewa?
Satu perasaan di mana hadirnya mungkin kerana sesuatu yang diinginkan tidak dapat dimiliki seperti yang dibayangkan. Mungkin juga kecewa kerana kehendak hati tidak dapat dipenuhi.

Pernahkah anda mengalami situasi seperti ini?


Aku sudah penat berdoa, tetapi Allah tidak pernah memakbulkan doa dan permintaanku. Aku sudah penat!”
Putus asa?
Ya, jelas sekali rasa putus asa yang terzahir dari situasi di atas. Kadang-kadang sepertinya kita menyalahkan takdir pula. Sedangkan Allah mengatur segalanya sesuai dengan keperluan dan kebaikan hamba-Nya. Kerana hanya Pencipta tahu apa yang diperlukan dan terbaik untuk ciptaan-Nya. Kadang-kadang apa yang kita mahukan tidak semestinya baik untuk kita, dan banyak pula perkara yang tidak kita senangi itu sebenarnya adalah baik untuk kita.
Sebagaimana penegasan Allah dalam kitab-Nya yang mulia al-Quran: 

Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak Mengetahui.” 
(Surah al-Baqarah:ayat 216)

Persoalannya, wajarkah kita untuk kecewa? Kecewa itu fitrah perasaan. Tetapi bagaimana pula kiranya kalau kekecewaan itu menyebabkan kita berani menuding jari menyalahkan takdir ketentuan Allah?
Mungkin ramai di antara kita frust bila setiap yang diimpikan tidak menjadi kenyataan. Lalu, kita kecewa dan sedih. Kita berdoa tetapi tidak kesemuanya ditunaikan. Kecewakah? Nanti dulu, sahabat. Tanyalah pada diri. Bukankah setiap yang kita miliki saat ini tidak semuanya kita minta daripada Allah.
Tapi Allah dengan murah hati memberi sebelum kita minta. Allah tetap mengurniakan tanpa kita mengajukan kemahuan tersebut kepada-Nya.
Pernahkah kita minta pada Allah untuk dikurniakan oksigen agar kita dapat kita bernafas? Adakah kita setiap hari meminta izin daripada Allah untuk menggunakan kaki, tangan dan lain-lain anggota? Adakah kita pernah minta supaya Allah meminjamkan mata untuk melihat dan mulut untuk bercakap pada setiap hari? Besar kemungkinan jawapannya tidak, bukan?
Jadi mengapalah berkira andai baru sekali kita dibiarkan merasa kecewa. Bukankah ujian itu tanda sayangnya Allah pada hamba-Nya? Sebelum kecewa, nanti dulu. Berhentilah dan cubalah untuk berfikir kembali. Kenanglah segala nikmat yang Allah berikan sehingga tidak mampu kita kira apatah lagi untuk menyukatnya. Jangan hanya kerana kecewa, anda sudah terfikir untuk melakukan perkara yang bukan-bukan atau membunuh diri!
Jadi, tapislah kekecewaan kita supaya jangan kita melampaui batas dalam melayan rasa itu. Kekecewaan yang bermanfaat ialah kekecewaan yang membawa diri dan hati kita lebih dekat dan menyayangi Allah. Kekecewaan yang membahagiakan ialah di saat kebahagiaan itu berjaya mengukuhkan keyakinan hati kita dalam mengimani qada’ dan qadar Allah.
Janganlah bersedih dan kecewa kerana di sebaliknya tersimpan kebahagiaan yang Allah hadiahkan sebagai hikmah-Nya.
Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling Tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.” 
(Surah Ali Imran: ayat 139)

Wallahu’alam.