Ke syurgakah kita?

Aku mempunyai ramai kawan dari pelbagai kaum dan agama. Perpaduan kaum yang dicanangkan oleh pihak kerajaan sememangnya telah sebati dalam diri sejak di bangku sekolah lagi. Suatu hari salah seorang rakanku yang beragama Kristian bertanyakan soalan tentang bagaimana kita nak tahu sama ada kita masuk syurga ataupun tidak? kalau seseorang tu pernah membunuh orang dan akhirnya bertaubat, adakah dia dapat masuk ke syurga? Itulah antara soalan2 yang terpacul dari mulut rakanku. Aku agak terkejut dengan pertanyaan ini mula menyusun ayat di dalam kotak pemikiranku. Agak bimbang aku memberikan input yang salah dan menyebabkan pandangannya menjadi serong terhadap Islam. Aku menghirup kopi yang masih panas sebelum menjawab persoalan-persoalan tersebut. 

     Hak untuk menentukan seseorang itu masuk ke syurga ataupun neraka adalah hak tuhan iaitu Allah, bukannya hak kita sebagai manusia. Kemampuan kita terhad contohnya, pandangan, pendengaran, pengetahuan malah pergerakan kita adalah terhad dan tidak boleh sesekali dibandingkan dengan Allah. Allah Maha Esa, Maha Mengetahui segala yang ada dilangit dan dibumi sama ada yang nyata mahupun yang tersembunyi. Jadi, ke syurga atau ke neraka seseorang itu adalah kerja tuhan dan bukannya kerja manusia. Rakanku mengangguk tanda setuju.

    Aku menceritakan tentang kisah diceritakan oleh ustaz semasa kuliah maghrib di masjid kepadanya. kisah seorang pemuda yang tekun beribadat dengan menunaikan solat berpuluh-puluh rakaat setiap hari. apabila dia meninggal Allah menyuruhnya masuk ke syurga dengan rahmat Allah. Pemuda ini berkata, wahai tuhanku, aku ingin ke syurga dengan segala amalan yang aku tunaikan sepanjang hidupku. Lalu Allah swt meletakkan sebiji matanya dan kesemua pahala amalannya ke atas neraca Al Mizan. Timbunan pahala amalannya itu tidak dapat menandingi nikmat mata yang Allah kurniakan kepadanya. Aku juga menceritakan kisah seorang pelacur yang memberikan air kepada seekor anjing yang kehausan dan akhirnya dimasukkan ke dalam syurga. 

    Aku meneruskan perbualan menjawab soalan seterusnya berkenaan taubat. Sesiapapun perlu bertaubat kepada Allah swt kerana sememangnya manusia tidak akan terlepas daripada melakukan dosa. Belum buka mulut pun sudah berdosa dengan kata2 yang diucapkan di dalam hati, apatah lagi bila mulut dibuka maka lagilah banyaknya ruang2 yang menyebabkan manusia itu berdosa seperti menipu, mencaci maki, memfitnah dan sebagainya. Namun, sebesar manapun dan sebanyak manapun dosa yang kita lakukan, pintu keampunan dan rahmat Allah sangatlah luas mengatasi segala dosa-dosa kita. 

    Kita tidak berhak menghukum sesiapa kerana kita juga bukanlah manusia yang sempurna. kita hanya berhak untuk menegur dan menasihati sesiapa yang tesasar atau tersilap langkah dalam menjalani kehidupan seorang muslim. kadang-kadang si pelaku sendiri tidak menyedari perbuatan yang dilakukannya itu bertentangan dengan hukum Islam. Kalau semua nak menghukum, jadi siapa yang nak menyampaikan. Kita yang telah diberikan kesedaran dan ilmu pengetahuan inilah yang perlu menyampaikan kepada mereka yang tidak tahu. 

     Habis je aku menjawab persoalan tadi sempat aku pesan kepada rakanku dan buat diri aku sendiri. Dalam hidup ini, kita bukan nak berlumba-lumba untuk nampak siapa yang paling alim dan paling warak pada pandangan manusia tetapi kita perlu berusaha untuk dapatkan keredhaan dan tempat yang terbaik di sisi Allah.