Falsafah
pendidikan yang menjadi panduan bagi semua aktiviti pendidikan di Malaysia
dIkenali sebagai FPK. Dengan adanya FPK, maka sistem pendidikan negara
sebenarnya menganjakkan diri ke kedudukan terkehadapan dengan mengungkapkan
secara jelas prinsip dan nilai asas yang mendasari dan membentuk sistem
pendidikan Malaysia daripada peringkat yang paling rendah hingga kepada
peringkat tertinggi iaitu universiti. FPK menjelaskan tujuan dan matlamat
pendidikan untuk individu dan negara. Kedua-dua tujuan selaras, iaitu untuk
melahirkan insan yang berilmu, berakhlak mulia dan bertanggungjawab yang juga
akan menjadi seorang warganegara yang baik. Pendidikan merupakan proses asas
dan utama untuk pembinaan insan yang baik, seimbang dan bersepadu yang secara
langsung merupakan saluran utama dan yang paling penting untuk menjayakan
hasrat dan cita-cita negara.
Salah satu yang terkandung dalam FPK adalah falsafah tentang
manusia yang berasaskan kepercayaan kepada Tuhan dan agama. Matlamat pendidikan
adalah untuk membangunkan semua aspek diri manusia secara harmonis dan seimbang
supaya kesepaduan fitrah diri manusia terpelihara. Berilmu dan berpendidikan
harus menghasilkan budi pekerti yang baik dan akhlak yang mulia yang sekali gus
menjadi ciri-ciri asasi seorang ahli keluarga, masyarakat dan warganegara yang
baik dan terdidik.
Satu konsep asas yang terkandung dalam FPK ialah tentang ilmu,
nilai ilmu dan peranan ilmu dalam pembangunan insan dan masyarakat. Nilai ilmu
terletak pada kebenaran kandungan yang berfungsi bukan sahaja untuk memaklumkan
dan menerangkan kepada manusia akan sesuatu, tetapi lebih penting lagi ilmu
mempengaruhi, mengubah dan membentuk diri serta masyarakat manusia. Fungsi ilmu
yang boleh mengubah manusia dan masyarakat inilah yang menjadikan sesuatu yang
amat tinggi nilainya. Pendidikan ialah satu proses dan aktiviti sepanjang hayat
dan manusia sentiasa berada dalam keadaan memerlukan perluasan, pendalaman dan
pengesahan kepada ilmu yang ada. Pengalaman bukan sahaja boleh memperkaya dan
mengukuhkan ilmu tetapi juga mencabar dan mengubah ilmu yang sedia ada pada
manusia.
FPK juga melihat individu itu dalam beberapa lapisan pertalian
atau perhubungan. Tujuan pendidikan bukan sahaja untuk pembangunan dan
kesejahteraan diri individu tetapi juga untuk pembangunan dan kesejahteraan
setiap lapisan hubungan individu berkenaan bermula dengan keluarga, meluas
kepada masyarakat dan negara.
Berdasarkan FPK, jelas bahawa tujuan pendidikan tinggi bukan hanya
setakat memperoleh segulung ijazah atau diploma, tetapi adalah untuk
pembangunan diri manusia secara menyeluruh dan seimbang supaya menjadi seorang
insan, ahli keluarga dan masyarakat dan warganegara yang berilmu,
bertanggungjawab, berakhlak mulia, dan berbakti.