1.0 Pengenalan
Pendidikan Jasmani merupakan satu subjek penting dalam kurikulum pendidikan formal dalam sistem pendidikan di Malaysia. Walaupun mata pelajaran Pendidikan Jasmani tidak diuji dalam peperiksaan awam di Malaysia, subjek ini nyata signifikan kerana merupakan satu-satunya bidang pendidikan yang menekankan domain psikomotor selain domain kognitif dan afektif yang tidak disentuh oleh mata pelajaran lain. Tambahan lagi, selain daripada merupakan bidang ilmu itu sendiri, subjek ini menyumbang kepada kecergasan semasa seseorang murid dan mampu menerapkan amalan gaya hidup sihat untuk di luar waktu sekolah malah untuk sepanjang hayat.
Aktiviti jasmani suaian untuk golongan khas kurang diberikan perhatian pada masa kini. Malah, jika dilihat daripada skop yang lebih luas, Pendidikan Jasmani suaian untuk golongan khas adalah lebih kritikal daripada golongan normal. Di Malaysia tidak banyak tempat yang disediakan sesuai untuk memberi peluang kepada golongan khas untuk beriadah terutamanya di luar kawasan sekolah khas. Golongan normal mudah dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran, kemudahan dan peralatan sesuatu jenis aktiviti riadah tetapi golongan khas pula sukar mendapat peluang untuk turut serta aktiviti yang dijalankan. Begitu juga dengan aktiviti pendidikan jasmani yang dilaksanakan di sekolah, aktiviti pendidikan jasmani yang dijalankan kepada murid-murid berkeperluan khas kurang diberikan perhatian dan mereka mengikuti aktiviti yang kurang sesuai bersama-sama dengan murid-murid biasa (Auxter, Pyfer dan Huettig, 2001).
Banyak halangan yang dihadapi oleh golongan khas untuk melibatkan aktiviti pendidikan jasmani di sekolah kerana terdapat murid-murid berkeperluan khas mengalami masalah fizikal yang melibatkan otot, saraf dan pembentukan postur yang kurang sempurna. Contohnya terdapat dalam kalangan murid-murid yang mengalami otot-otot yang kurang sempurna tidak dapat melakukan pergerakan seperti murid-murid biasa. Begitu juga yang mengalami masalah deria tidak dapat bergerak bebas dan pantas seperti murid biasa. Ini akan mengakibatkan mereka merasa rendah diri dan tersisih. Aktiviti pendidikan jasmani yang bersesuaian perlu disediakan untuk melatih dan melazimkan keupayaan mereka ke tahap yang optimum bagi menyediakan mereka untuk menghadapi kehidupan sebenar di luar sekolah. Selain daripada itu aktiviti pendidikan jasmani suaian juga perlu menyediakan situasi ceria yang dapat menggalakkan kesejahteraan emosi kepada golongan istimewa ini.
2.0 Definisi Ketidakupayaan ADHD (Attention Deficit Hyperactive Disorder)
ADHD adalah singkatan daripada ‘Attention Deficit Hyperactive Disorder’, iaitu keadaan yang juga dikenal sebagai ‘Attention Deficit Disorder’ (sukar memusatkan perhatian), ‘Minimal Brain Disorder’ (masalah kecil pada otak) dan Hyperactive (hiperaktif). Ketidakupayaan ADHD lebih cenderung kepada kanak-kanak lelaki berbanding kanak-kanak perempuan. Menurut Mohd Zuri Ghani dan Aznan Che Ahmad (2009), populasi kanak-kanak yang mengalami ketidakupayaan ADHD adalah 4% dalam kalangan kanak-kanak perempuan dan 8-10% adalah kanak-kanak lelaki. Kanak-kanak yang mengalami masalah kecelaruan atau gangguan dan kurang tumpuan ini adalah berumur sebelum tujuh tahun.
Menurut Barkley (1990), gangguan hiperaktif dan kurang tumpuan atau ‘Attention Deficit Hyperactive Disorder’ (ADHD) merupakan salah satu kecelaruan psikiatri yang paling umum dalam kalangan kanak-kanak. Ketidakupayaan ini merupakan satu kecelaruan perkembangan yang berlaku ketika zaman kanak-kanak yang mempunyai ciri-ciri seperti kurang tumpuan, keadaan hiperaktif – impulsif yang kerap dan teruk berbanding dengan keadaan biasa diperhatikan pada individu di peringkat yang normal. Mereka sukar mengawal diri secukupnya untuk menumpukan perhatian dan menyelesaikan segala tugasan.
Manakala menurut Azizi Yahaya (2006), gangguan hiperaktif dan kurang tumpuan atau ADHD merujuk kepada kecelaruan perkembangan yang berlaku pada zaman kanak-kanak yang mempunyai ciri-ciri kurang tumpuan , keadaan hiperaktif yang kerap dan teruk berbanding biasa. Masalah tingkah laku hiperaktif adalah istilah yang digunakan untuk kanak-kanak yang mempunyai tingkah laku yang terlampau aktif dan mengganggu serta mempunyai tumpuan yang singkat dalam sesuatu masa (Jamila, 2005). Menurut Sheila dan Samsilah (2006) pula, masalah tingkah laku hiperaktif adalah satu keadaan yang meletakkan kanak-kanak yang mengalaminya mempunyai masalah tingkah laku yang terlampau aktif dan impulsif.
3.0 Kategori ADHD
Menurut Persatuan Psikologi Amerika (APA) dalam Mohd Fadli Mustafa Kamal et al. (2016) pula mendefinisikan ADHD sebagai kecelaruan psikologi dengan petanda-petandanya yang dapat dikesan pada umur tujuh tahun dan dikategorikan kepada tiga kategori. Kategori ADHD yang pertama ialah kekurangan tumpuan kerana murid sering mengelamun dan pelupa serta melakukan kerja secara tidak teratur dalam menyelesaikan tugasan yang telah diberikan kepadanya. Kategori kedua pula ialah impulsif iaitu kanak-kanak sering melakukan tindakan tanpa berfikir terlebih dahulu. Kategori yang ketiga adalah hiperaktif iaitu kanak-kanak yang mempunyai jumlah pergerakan yang sangat tinggi dan sukar untuk dikawal.
Ketidakupayaan hiperaktif dan impulsif atau simptom kurang tumpuan telah wujud sebelum kanak-kanak berusia tujuh tahun. Jika hal ini dikesan selepas kanak-kanak berusia tujuh tahun, kanak-kanak tersebut mungkin mengalami masalah psikologi yang berlainan. Hal ini demikian kerana kanak-kanak yang mempunyai gejala ini biasanya dikenal pasti secara lazimnya sejak berumur dua tahun lagi. Simptom-simptom ADHD ini wujud dalam kedua-dua keadaan sama ada di sekolah atau di rumah. Maksudnya kanak-kanak ini berada di mana sahaja sikap atau tanda yang ditunjukkan oleh mereka adalah sama.
Ciri-ciri yang ada adalah kanak-kanak ADHD ini cenderung hidup bersendirian kerana dia tidak memiliki ramai kawan. Hal ini berlaku disebabkan oleh sikap kanak-kanak ini yang suka mengganggu orang lain. Keadaan ini menyebabkan ibu bapa sering dipersalahkan kerana tidak dapat mengawal anak mereka. Menurut Mohd Zuri Ghani dan Aznan Che Ahmad (2009), kanak-kanak ADHD ini juga menghadapi masalah dalam pembelajaran, tingkah laku dan emosi. Sebanyak 60 peratus pula menghadapi masalah dari segi pertuturan dan penguasaan bahasa, manakala 80 peratus kanak-kanak ADHD ini bermasalah membaca, mengeja dan menulis. Selain itu, 60 peratus hingga 70 peratus kanak-kanak ADHD ini menjadi agresif dan bermasalah tingkah laku. Kanak-kanak ADHD juga mempunyai konsep kendiri yang rendah dan tidak diterima oleh rakan sebaya kerana sikap kasar mereka yang suka bertindak dan berkelakuan kasar serta menindas rakan-rakan yang lain.
3.1 Kekurangan tumpuan perhatian
Kanak-kanak ini mempunyai daya tumpuan yang singkat terhadap sesuatu perkara. Selain itu, kanak-kanak ini juga sering melakukan kesalahan yang sama ketika melakukan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Dalam masa yang sama juga kanak-kanak ini gagal mematuhi arahan dan gagal menyiapkan tugasan atau kerja sekolah serta kerap mengalami masalah dalam mengatur tugas dan aktiviti-aktiviti harian. Mereka juga menghadapi masalah untuk menguruskan dan mengelola aktiviti atau kerja mereka dengan sendiri. Mereka tidak dapat melakukan kerja seorang diri dan jika di dalam kelas, guru perlu sentiasa mengawasi supaya mereka tidak melakukan kerja separuh jalan. Simptom lain yang dikaitkan dengan kurang tumpuan ialah kanak-kanak ini tidak akan memberikan perhatian kepada orang yang bercakap dengannya. Contohnya, jika diberikan arahan yang banyak dalam satu masa mereka tidak dapat mengingatinya. Kanak-kanak yang menghadapi masalah ini juga selalu kehilangan benda yang berkaitan dengan kerja. Hal ini boleh dikaitkan dengan sifat mudah lupa atau tidak dapat mengingati sesuatu atau apa yang telah dilakukan. Contohnya kehilangan buku, pen, pensel, pembaris dan sebagainya kerana tidak dapat mengingati di mana ia telah diletakkan. Hal ini menunjukkan kanak-kanak ini sering menjadi pelupa dalam aktiviti hariannya.
3.2 Impulsiviti
Bagi kanak-kanak ini pula mereka terdorong untuk melakukan sesuatu perkara dan tindakan dengan mengikut kata hati dengan tidak berfikir terlebih dahulu. Ini termasuklah menjawab soalan yang dikemukan oleh guru di dalam kelas dengan terburu walaupun soalan yang diajukan belum habis disoal oleh guru. Mereka ini biasanya cuba menguasai suasana persekitaran dengan bertindak sebagai ketua. Selain itu, kanak-kanak ini juga sering kali mengganggu kanak-kanak lain ketika melakukan aktiviti dan ketika menjawab soalan guru. Apabila kanak-kanak ini melakukan sesuatu perkara, mereka akan cepat berubah tindakan dengan melakukan tindakan yang lain pula. Sebagai contoh ketika mereka sedang menulis sesuatu latihan yang diberi oleh guru, kanak-kanak impulsif ADHD ini akan beralih tindakan kepada bermain alat permainan di dalam kelas. Seterusnya, mereka juga sering membuat pertimbangan yang salah. Tidak dapat membezakan sesuatu perkara yang dilakukan sama ada betul atau salah dan ia biasanya dikaitkan dengan tindakan yang diambil tanpa berfikir terlebih dahulu. Kanak-kanak ini cenderung mengalami kemalangan kerana sikapnya yang suka bertindak tanpa berfikir terlebih dahulu. Contohnya, Kanak- kanak ADHD selalu bermain dengan benda-benda yang tajam ataupun melintas jalan raya tanpa memastikan sama ada terdapat kenderaan ataupun tidak kerana mereka tidak sedar bahawa perbuatan yang dilakukan itu adalah berbahaya.
3.3 Hiperaktif (berlaku terlalu aktif).
Bagi kanak-kanak hiperaktif ini mereka akan berkelakuan seperti menggoyangkan badan iaitu kaki dan tangannya serta resah di tempat duduknya. Kanak-kanak ini juga sukan berlari-lari, memanjat perabot di kelas atau rumah dan sukar untuk mereka duduk dalam keaadaan yang tenang. Kelakuan hiperaktif ini seringkali merungsingkan ibu bapa apabila kanak-kanak yang berusia dua tahun hingga tiga tahun yang mula pandai berlari, memanjat dan melompat. Contohnya kanak-kanak ini mungkin berlari dan melompat di dalam kelas ketika guru sedang mengajar. Hal ini dapat menunjukkan bahawa mereka selalu meninggalkan tempat duduk di dalam kelas, kurang perhatian dan tumpuan atau fokus yang lebih banyak terhadap sesuatu perkara lain yang lebih diminati. Simptom lain bagi kanak-kanak hiperaktif ini ialah kanak-kanak ini banyak bercakap dan bersikap degil serta membantah apabila arahan diberikan kepada kanak-kanak tersebut.
3.4 Gabungan
Kategori gabungan pula bermaksud kanak-kanak ADHD yang mempunyai masalah dalam ketiga-tiga kategori yang telah dihuraikan di atas iaitu tidak memberikan tumpuan, impulsiviti dan hiperaktiviti. Kanak-kanak yang terdiri daripada kategori gabungan ini adalah lebih sukar untuk mengawal tingkah laku mereka dan kanak-kanak dalam kategori ini mempunyai ciri yang hampir sama dengan ciri-ciri yang telah diterangkan di atas. Namun ciri-ciri umum yang dapat dilihat dengan jelas bagi kanak-kanak ADHD yang berada dalam kategori ini ialah, tidak memberikan tumpuan, gagal menyiapkan tugasan, tidak mengikut arahan dan sukar memberikan tumpuan terhadap sesuatu aktiviti. Ciri-ciri masalah impulsiviti pula menyebabkan kanak-kanak bertindak tanpa berfikir, bertukar-tukar aktiviti, sukar menunggu giliran dan sukar mengendali sesuatu aktiviti. Ciri-ciri bagi hiperaktiviti pula, kanak-kanak suka berlari atau memanjat perabot, tidak boleh duduk diam, bergerak secara berlebihan semasa tidur, mudah mengamuk dan sukar menyesuaikan diri dengan orang lain atau rakan sebayanya sendiri.
4.0 Ciri-ciri ADHD
4.1 Kognitif
Kebanyakkan murid-murid dalam kategori ‘Attention Deficit Hyperactivity Disorder’ (ADHD) lemah dalam pencapaian akademik. Hal ini disebabkan kesukaran dan ketidakmampuan mereka untuk memberikan tumpuan, mereka juga menghabiskan masa yang sedikit untuk terlibat sama dalam kumpulan akademik berbanding rakan kelas mereka yang tanpa ADHD (Duhaney, 2004). Selain itu keputusan gred mereka pula kerap kali rendah dan risiko untuk mereka gagal adalah tinggi. Murid-murid ADHD mempunyai masalah untuk belajar dalam jangka masa yang panjang dan mereka cenderung untuk tidak diatur serta menjadi pelupa. Murid-murid ini juga akan menjadi tidak tahu yang mereka ada kerja rumah, lupa tarikh dan waktu tugasan perlu dihantar atau untuk mendapatkan kebenaran daripada ibu bapa apabila ada rombongan. Kebanyakan guru akan memberikan komen seperti "murid-murid ini mempunyai tulisan tangan yang buruk, kerja mereka tidak memuaskan dan cuai, tugasan mereka sering tidak lengkap dan kerja mereka tidak disusun dengan baik" (Gargiulo 2006).
4.2 Sosial
Kanak-kanak ADHD tidak suka bercampur dengan rakan sebaya yang lain. Setiap penglibatan mereka dalam kumpulan rakan sebaya akan menimbulkan pertelingkahan kerana kanak-kanak ADHD tidak tahu berkomunikasi dengan baik. Murid-murid yang mempunyai ciri-ciri ADHD yang teruk juga akan menyebabkan tingkah laku antisosial mereka bertambah dan interaksi sosial menurun (Merrell, 2003). Mereka akan menghukum diri mereka sendiri sebagai ahli sosial yang gagal dan cenderung untuk melakukan aktiviti bersendirian, contohnya bermain permainan komputer dan menonton televisyen. Kanak-kanak hiperaktif lemah dalam kemahiran sosial menyebabkan kebanyakan murid-murid dengan ADHD ini dibuang atau tidak diterima oleh rakan sebaya dan tidak disukai oleh guru mereka (Merrell, 2003).
4.3 Emosi
Kanak-kanak ADHD mempunyai emosi yang tidak menentu dan menyebabkan mereka mudah marah. Kesannya kanak-kanak ini akan suka mengancam orang lain tidak kira dalam bentuk fizikal ataupun percakapan. Mereka juga akan menjadi ganas tanpa sebab atau kerana masalah yang kecil. Keganasan yang ditunjukkan oleh mereka akan menyebabkan kanak-kanak ADHD kurang diterima oleh masyarakat, malah menganggap mereka akan memburukkan lagi keadaan. Hal ini akan mengganggu emosi mereka dan kanak-kanak ini turut berfikir bahawa penyingkiran ini adalah sebagai satu hukuman atau balasan kepada keadaan yang dialami oleh mereka. Selain itu, kanak-kanak ADHD juga suka ketawa dan seronok dengan tiba-tiba. Biasanya mereka tidak suka duduk diam tanpa melakukan sesuatu. Oleh itu mereka akan membuat sesuatu tingkah laku yang boleh mengganggu rakan-rakan yang sedang belajar. Tingkah laku yang tiba-tiba dan agresif ini akan membuatkan rakan-rakan yang lain menjadi hilang tumpuan dan pengajaran pembelajaran akan terganggu seketika. Keadaan ini akan menimbulkan pertelingkahan yang amat menarik bagi mereka. Malah kanak-kanak ADHD akan berasa seronok dan puas hati apabila melihat rakan sebaya marah dengan gangguan mereka.
4.4 Tingkah laku
ADHD telah dilabel sebagai set spesifik tingkah laku yang banyak orang mempamerkannya sekali sekala. Mereka ialah murid-murid yang jika dilihat kerap mengasah pensil berbanding rakan kelas yang lain, melihat sesuatu di atas rak buku dengan beberapa kali, menggeliat-geliat atau bermain dengan pensel di atas meja semasa guru mengajar (Duhaney, 2004). Dorongan untuk bercakap dengan rakan sebelah pula amat kuat mempengaruhi murid-murid ADHD. Walaupun murid-murid ini sering dilihat dalam keadaan bermasalah, secara relatifnya pecahannya kecil, tetapi apabila mereka berada di sekolah sepenuhnya, gangguan yang berlebihan pada diri mereka akan jelas dibaca atau diperhatikan. Bagi kanak-kanak yang mempunyai hiperaktiviti dan impulsiviti, tingkah laku mereka mungkin menyebabkan segelintir individu seperti ibu bapa terutamanya tidak boleh bersabar. Antara tingkah laku yang sering dilakukan oleh kanak-kanak ADHD adalah berlari dan memanjat di dalam kelas atau di rumah, mengganggu rakan sebaya, bertukar daripada satu aktiviti kepada aktiviti lain dengan mudah, sukar menunggu giliran dan kadang kala tingkah laku mereka membahayakan diri sendiri seperti melintas jalan tanpa menoleh ke kiri dan kanan terlebih dahulu.
5.0 Punca-punca Ketidakupayaan ADHD
5.1 Pengambilan kadar gula yang berlebihan
Ciri-ciri hiperaktif wujud adalah disebabkan oleh pengambilan gula yang melebihi kapasiti yang sepatutnya. Kandungan gula yang tinggi dalam darah mengakibatkan berlakunya tindak balas otak terhadap otot dan anggota-anggota badan. Pengambilan gula, makanan ringan dan makanan ruji secara berlebihan dan tanpa kawalan serta perhatian daripada ibu bapa dalam kalangan kanak-kanak akan menyebabkan wujudnya ciri-ciri hiperaktif terhadap diri mereka
.
Otak manusia memerlukan gula ataupun glukosa untuk berfungsi. Namun, paras glukosa dalam darah hendaklah stabil dan dalam kuantiti yang secukupnya. Menurut Mohd Zuri Ghani dan Aznan Che Ahmad (2009), paras gula yang baik dalam aliran darah adalah sebanyak 100mg bagi setiap 100ml darah. Sekiranya kadar glukosa dalam darah ini kurang daripada paras normal, kita akan berasa pening dan gelisah. Keadaan ini dinamakan sebagai Hypoglycaemia.
Kadar glukosa yang telalu tinggi dalam darah pula mendatangkan kesan yang berbeza. Otak akan menghantar isyarat ke pankreas untuk menghasilkan hormon insulin. Hormone insulin akan menyalurkan glukosa ke otot-otot dan dibakar untuk menghasilkan tenaga. Pembakaran glukosa di bahagian otot inilah yang akan menyebabkan berlakunya pergerakan otot. Pembakaran glukosa yang berlebihan inilah yang akan menyebabkan kanak-kanak menjadi terlalu aktif dan tidak terkawal. Penghasilan tenaga yang berlebihan ini akan menyebabkan kanak-kanak mula menjerit-jerit, berlari dan melompat-lompat.
5.2 Kerosakan saraf di dalam otak
Pengetahuan mengenai struktur di dalam otak membantu kita untuk memahami kajian yang telah dilakukan oleh para saintis berkenaan dengan penyebab bagi masalah Attention Deficit Hyperactive Disorder. Para saintis telah memfokuskan kepada satu bahagian di dalam otak iaitu korteks serebral. Korteks serebral memainkan peranan penting dalam hal-hal memikir, menganalisis input dari luar, merancang sesuatu, menyelesaikan masalah, ingatan dan mengawal, menyekat dan menahan seseorang daripada bergerak atau bertindak secara tiba-tiba tanpa memikirkan akibatnya. Bahagian belakang korteks serebral pula mengawal keadaan seperti kebolehan mengenal dan membezakan sesuatu.
Sistem limbik ialah sekumpulan beberapa struktur yang terletak pada bahagian tengah kedua-dua hemisfera. Sistem ini hanya berfungsi penuh pada mamalia. Sistem limbik terdiri daripada satu set struktur yang saling berhubungan termasuk beberapa bahagian kortek limbik, hipokampus, amigdala dan septum. Satu daripada struktur sistem limbik dikenali sebagai hipokamus. Ia memainkan peranan penting dalam ingatan. Kajian menunjukkan yang kerosakan bahawa struktur hipokamus akan menjejaskan ingatan baru dan bukan ingatan-ingatan lampau. Sistem limbik juga mempengaruhi tingkah laku emosi manusia, motivasi dan pembelajaran. Apabila sistem ini terjejas akibat luka, penyakit atau kerosakan lain, tingkah laku yang berbentuk agresif dan tingkah laku yang terlalu pasif boleh berlaku kepada individu yang mengalarninya.
5.3 Pengambilan rokok sebelum dan semasa mengandung
Jika ibu mengandung ialah seorang perokok, janin di dalam kandungannya berisiko kekurangan oksigen. Hal ini kerana karbon monoksida yang disedut daripada rokok akan meningkatkan paras karbon dalam haemoglobin ibu. Paras karbon dalam haemoglobin yang tinggi akan menyebabkan kekurangan darah beroksigen kepada janin. Kekurangan oksigen akan menyebabkan kerosakan saraf di dalam otak (Hanna, 2006).
5.4 Pengambilan arak dan alkohol
Sebelum kehamilan, arak dapat meransang sel-sel seks seseorang individu. Semasa kehamilan pula, arak menembusi melalui tali pusat. Hanna (2006), menjelaskan berlakunya ketidak laziman pada kanak-kanak yang terdedah kepada arak semasa dalam kandungan iaitu, kerosakan pada sistem saraf, kecacatan, bayi cepat marah dan hiperaktif semasa kanak-kanak.
5.5 Faktor cuaca
Cuaca yang panas dan suhu yang tinggi juga boleh menyebabkan kanak-kanak ADHD menjadi lebih agresif. Hal ini disebabkan oleh otak akan merangsang otot-otot dan fungsi badan mereka menjadi lebih aktif sehingga tidak dapat menumpukan perhatian dan gagal menyiapkan sesuatu tugasan.
5.6 Faktor genetik
ADHD juga berpunca daripada faktor genetik atau keturunan yang diwarisi oleh kanak-kanak daripada ibu bapa mereka. Menurut Barkley (2005), faktor yang disebabkan oleh genetik lebih jelas diperhatikan dalam masalah hiperaktif. Penyataan ini disokong oleh Merrell (2003), apabila mereka mendapati bahawa terdapat perkaitan antara kanak-kanak hiperaktif dengan sifat alkoholik dan personaliti yang anti sosial yang terdapat pada ibu bapa mereka. Kebanyakan ibu bapa akan menyedari sikap anaknya yang berperilaku tidak terkawal seakan-akan sama dengan tingkah laku mereka sendiri sewaktu mereka kanak-kanak dahulu.
6.0 Pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran yang berkesan untuk membantu kanak-kanak ADHD.
6.1 Peneguhan dalam pengajaran dan pembelajaran
Intervensi peneguhan memberi impak positif terhadap masalah tingkah laku yang wujud di kalangan murid (Shahida Hassim et al., 2012). Antaranya, perubahan tingkah laku murid seperti kurang mengganggu rakan, lebih mesra dan lebih patuh kepada arahan. Perubahan tingkah laku negatif kepada tingkah laku positif juga sebenarnya merujuk kepada langkah-langkah yang digunakan oleh guru untuk melakukan peneguhan yang berkala. Cara peneguhan yang diberi akan memberi kesan terhadap tingkah laku yang seterusnya. Oleh itu, seseorang guru tersebut perlu menggunakan peneguhan yang tetap dan berkala. Penggunaan peneguhan positif sangat dititikberatkan dan perlu dilakukan sekerap mungkin apabila murid melakukan tingkah laku yang diingini.
Selain itu, guru juga boleh menggunakan kaedah token ekonomi sebagai salah satu teknik peneguhan positif. Token ekonomi merupakan satu sistem yang meneguhkan tingkah laku positif dengan memberikan token atau hadiah kepada murid apabila mencapai tingkah laku yang diingini. Menurut Miltenberger (2004), token ekonomi adalah sebuah teknik di mana individu mendapatkan token untuk tingkah laku yang ditunjukkan. Tujuan token ekonomi dilakukan adalah untuk meneguhkan tingkah laku yang diinginkan. Token ekonomi juga digunakan untuk mengurangkan tingkah laku yang tidak diingini.
Selain itu, kaedah time-out juga boleh digunakan sebagai peneguhan negatif. Time-out juga merupakan satu teknik modifikasi tingkah laku bermasalah. Dalam kaedah ini, jika murid tidak menunjukkan tingkah laku yang diingini, murid tersebut akan dihantar ke satu lokasi yang ditetapkan oleh guru seperti berdiri di luar kelas dan sebagainya. Di samping itu juga, kerjasama daripada semua pihak sama ada guru, rakan dan ibu bapa amat penting. Ini kerana, murid tersebut berada di kelas aliran perdana di mana guru yang masuk ke kelas tersebut bergilir mengikut mata pelajaran masing-masing. Jika mendapat kerjasama yang penuh dari semua guru, murid tersebut boleh dipulihkan. Begitu juga dengan ibu bapa yang membantu memantau perkembangan anak mereka di rumah.
6.2 Pendekatan Pembelajaran berdasarkan Pengalaman.
Pendekatan Pembelajaran pengalaman adalah berdasarkan kesediaan dan keupayaan individu. Pendekatan ini dapat meningkatkan arah kendiri individu di mana murid diberi peluang menilai keupayaan diri sendiri bagi melaksanakan kaedah ini guru hendaklah memastikan sumber untuk proses pembelajaran mudah diperolehi dan memastikan suasana yang positif untuk proses pembelajaran. Tambahan lagi, guru hendaklah memastikan murid dapat mengimbangi intelek dan emosi dalam pembelajaran serta berkongsi perasaan dan pemikiran murid tanpa mengongkong perasaan mereka ketika berinteraksi. Antara prinsip-prinsip pendekatan pembelajaran pengalaman ialah guru memberikan latihan dan peneguhan dengan mengaitkan pembelajaran yang baru dalam kehidupan sebenar murid seperti sekolah, keluarga dan komuniti.
RUJUKAN
Auxter, D.
Pyfer, J. & Huettig, C. (2001). Principles
And Methods Of Adapted Physical Education And Recreation, (9th.
Ed.). New York: McGraw-Hill.
Azizi Yahaya
(2006). Punca dan Rawatan Kecelaruan
Tingkahlaku. Kuala Lumpur: PTS
Profesional.
Barkley, R.
A. (1990). Attention Deficit
Hyperactivity Disorder: A Handbook for Diagnosis and Treatment. New York:
Guilford Press.
Barkley, R. A
(2005). Take charge of ADHD: the complete
authoritative guide for parents. New York: Guilford Publications.
Duhaney, D.C.
(2004). Blended learning in education, training, and development. Perfomance Improvement, 53 (8), 35-38.
Gargiulo, R.
M. (2006). Special education in
contemporary society: an introduction to exceptionality, (2nd. Ed.).
Belmont, CA.: Thomson.
Hanna, M.
(2006). Making the connection: a parent's
guide to medication in ADHD. Washington D.C.: Ladner-Drysdale.
Jamila K.A
Mohamad. (2005). Pendidikan Khas untuk
Kanak-kanak Istimewa. Kuala Lumpur: PTS Publications& Distributions
Sdn. Bhd.
Merrell, K.
W. (2003). Behavioral, social, and
emotional assessment of children and adolescents (2nd ed.). Mahwah, NJ:
Lawrence Erlbaurn Associates.
Miltenberger,
R. G. 2004. Behavior Modification:
Principles and Procedures Fourth Edition. United States of America:
Wadsworth.
Mohd Zuri
Ghani & Aznan Che Ahmad (2009). Ciri dan Punca Berlakunya ADHD dalam
Kalangan Kanak-kanak. Diges Pendidik,
Jilid 9, Bil. 1.
Mohd Fadli
Mustafa Kamal, Mohd Hanafi Mohd Yasin & Mohd Mokhtar Tahar. (2016). Penggunaan Teknik Peneguhan bagi Mengatasi
Masalah Tingkah Laku Hiperaktif. Kertas dibentangkan dalam Seminar
Antarabangsa Pendidikan Khas Rantau Asia Tenggara Siri Ke-6, Kuala Lumpur,
Malaysia.
Shahida
Hassim, Chua Chu Tee, Rosadah Abdul Majid, Zalizan Mohd Jelas & Hamizatun
Akmal Md Yusoff. (2012). Perkembangan
Kecerdasan Emosi Kanak-kanak Prasekolah Bermasalah Pendengaran: Implikasinya
Terhadap Penglibatan Ibu Bapa. (Laporan penyelidikan yang tidak
diterbitkan). Universiti Kebangsaan Malaysia.
Sheila Devaraj &
Samsilah Roslan. (2006). Apa itu
Disleksia. Kuala Lumpur: PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd.