Berbagai-bagai
ragam krisis akhlak dan moral kini terus menular, merebak dan mewabak dalam
masyarakat kita khasnya di kalangan remaja. Daripada kes bohsia, hamil luar
nikah yang diikuti dengan pembuangan zuriat di dalam tong sampah, penderaan,
gengsterisme dan vandalisme, rogol, sumbang mahram, ketagihan dadah, hinggalah
kepada mat rempit.
Ternyata
bahawa pendidikan moral kita dengan enam belas nilai teras, pendidikan sivik,
pendidikan Islam, pendidikan jarak jauh dan sebagainya; masih jauh untuk dapat
menangani kegawatan dan kemerosotan dalam bidang ini. Faktor-faktor tertentu
seperti mencari kepuasan nafsu, ingin membebaskan diri dari kemiskinan,kongsi
gelap, dadah, bertelingkah dengan ibu bapa, gagal dalam peperiksaan, bosan
duduk di rumah, trauma akibat perbuatan seks dan sebagainya rupa-rupanya lebih
berpengaruh dari asuhan institusi pendidikan yang sedia ada.
Antara
faktor berlakunya gejala yang tidak sihat ni ialah sikap keluarga. Dalam hal
ini keluarga juga ada kalanya menjadi pendorong bertambahnya gejala sosial di
kalangan remaja. Saya tidak katakan semua keluarga. Apa yang dimaksudkan ialah
keluarga yang mengamalkan sikap terlalu mengongkong atau terlalu memberikan
kebebasan kepada para remaja”
Keluarga yang terlalu mengongkong ialah keluarga yang
mengamalkan sikap terlalu tertutup. Maksudnya keluarga itu seolah-olah
telah menetapkan suatu undang-undang atau peraturan yang perlu diikuti oleh
setiap ahli keluarga tanpa kompromi. Keadaan ini boleh menyebabkan jiwa remaja
memberontak dan jika berpeluang keluar dari keadaan itu mereka akan melakukan
apa sahaja yang terlintas di fikiran tanpa berfikir panjang. Manakala keluarga
yang terlalu memberikan kebebasan ini biasanya bersikap terbuka yang
keterlaluan. Di dalam keluarga sebegini, tiada suatu peraturan atau ketetapan
khusus yang diamalkan. Keadaan ini juga tidak baik kerana para remaja perlukan
sesuatu yang boleh dijadikan panduan untuk menjalani kehidupan mereka. Tanpa
panduan, belum tentu mereka dapat melalui kehidupan ini dengan baik dan
sempurna.
Media massa juga menjadi penyumbang kepada berlakunya
gejala sosial di kalangan para remaja hari ini. Namun tidak
semuanya apa yang dipaparkan di media massa itu memberikan kesan yang buruk.
Namun, ada segelintir program-program dan drama-drama yang memaparkan pergaulan
bebas di kalangan remaja, program-program realiti tv serta rancangan-rancangan
yang bersifat hiburan semata-mata mempengaruhi para remaja dengan perkara yang
tidak baik. Umpamanya corak pergaulan remaja yang jauh dari nilai-nilai
ketimuran, cara berpakaian yang kurang sopan dan gaya hidup yang mengikut cara
barat.
Selain
itu, faktor rakan sebaya juga boleh
menyebabkan berlakunya gejala sosial. Kawan-kawan menjadi orang yang rapat
dengan mereka. Kawan yang baik, boleh membimbing mereka kepada kebaikan, namun
jika tersilap memilih kawan, akan mempengaruhi mereka kepada perkara-perkara
yang buruk. Selain itu sikap remaja
turut menyumbang kepada gejala sosial, kadangkala mereka ini terlalu mudah
mempercayai orang lain. Umpamanya, jika mereka merasakan rakan-rakan mereka
lebih rapat dan lebih memahami, dengan mudah mereka akan mengikut apa yang dilakukan
oleh rakan-rakan. Mereka lupa bahawa kawan juga kadangkala boleh makan kawan.
Dalam keadaan ini ramai para remaja terjerumus ke dalam gejala sosial oleh
sebab terpengaruh dengan rakan mereka.
Berdasarkan
pengalaman dan pendapat saya, antara usaha yang boleh dilakukan untuk mengawal
gejala sosial ini ialah peranan kuasa
negara Islam melalui sistem keadilan dan galakannya. Tuntutan akhlak dan
nilai-nilainya tidak akan bermaya tanpa digandingi oleh kuasa atau autoriti
yang menguatkuasakan nilai-nilai tersebut. Oleh kerana itu, antara
tanggungjawab negara Islam ialah mewujudkan mekanisme dan jentera-jentera
pentadbiran yang dapat beroperasi untuk memastikan ketertiban serta penghayatan
kaedah-kaedah akhlak Islam dalam masyarakat. Negara-negara Islam sepatutnya
menguatkuasakan undang-undang Islam dan mewujudkan persekitaran dan pengamalan
budaya-budaya Islam di seluruh negara. Jika negara tidak melaksanakan amanah
ini kerana ia tidak berlandaskan sistem perlembagaan dan undang-undang Islam
sudah pasti keadaan akhlak umat akan lebih parah dan malang. Melalui puluhan
kementerian, badan-badan berkanun, agensi-agensi kerajaan akhlak Islam akan
digugat dan dihakis. Amalan pemerintahan yang tidak adil menjanjikan kemusnahan
bukan hanya dalam bidang akhlak tetapi juga dalam semua perkara yang melibatkan
ummah.
Selain
itu, tekanan sosial daripada masyarakat
juga dapat membendung gejala ini dalam kalangan remaja. Antara mekanisme
yang digunakan oleh Islam dalam membentuk penganutnya serta memastikan mereka
melaksanakan kelakuan berakhlak ialah wujudnya komuniti sosial yang komited
dengan dasar dan prinsip-prinsip Islam. Masyarakat Islam yang mempunyai impak
yang besar dan pengaruh yang kuat dalam memaksa individu mengamalkan atau
menurut nilai dan norma-norma akhlak. Mereka boleh melaksanakan tekanan moral
yang berkesan untuk mendisplinkan golongan yang berkecenderungan untuk
melakukan kejahatan. Manusia memang suka dipuji, dihormati dan disanjung.
Manusia juga takut dikeji dan dicemuh oleh kumpulan di mana ia mempunyai perasaan
bangga kepada mereka. Faktor-faktor tersebut adalah anak kunci yang sedikit
sebanyak menentukan tindak-tanduk seseorang. Masyarakat Islam yang aktif boleh
berperanan menyuburkan semangat dan amalan hidup berakhlak. Ia juga boleh
membendung trend-trend kufur dan maksiat dalam masyarakat melalui perlaksanaan
amal mak'ruf dan nahi mungkar. Apabila masyarakat kehilangan keprihatinannya
terhadap kewajipan menegakkan makruf dan mencegah yang mungkar, maka bermulalah
proses penghakisan moral, akhlak dan martabat umat berkenaan.
Golongan remaja juga hendaklah meletakkan mereka
dalam persekitaran yang mengamalkan nilai-nilai dan cara hidup Islam. Persekitaran
sosial dan budaya kerap mempengaruhi manusia. Persekitaran tersebut merangkumi
tradisi, model tingkah-laku dan saranan serta rangsangan yang bersifat akhlak. Persekitaran
Islam akan menjadikan tingkah laku yang berakhlak sebagai norma-norma
masyarakat. Manusia memang sering terpengaruh kepada persekitarannya dengan cara
meniru serta mencontohi insan yang disanjungi oleh mereka. Kewujudan seseorang
dalam lingkungan masyarakat yang baik serta soleh sudah tentu akan menyebabkan
ia beriltizam dengan amalan dan etika yang dihayati oleh kumpulan tersebut. Ia
akan berusaha melaksanakan sesuatu yang disanjungi oleh masyarakatnya.
Sebaliknya, perbuatan yang dianggap keji oleh lingkungannya, ia akan berusaha
sedaya upaya untuk menghindarinya.
Seterusnya,
ibu bapa hendaklah memainkan peranan
mereka dalam mendidik anak-anak mengikut acuan Islam. Gejala sosial dalam
kalangan remaja ini dapat dibendung ketika anak masih kecil lagi. Ibu bapa
hendaklah mengawal segala pergerakan anak-anak mereka. Mereka hendaklah
mengambil berat tentang latar belakang rakan sebaya anaknya. Mereka juga
hendaklah mengambil tahu ke mana anaknya pergi dan apa yang dilakukan oleh
anaknya semasa berada di luar rumah. Ibu bapa hendaklah menetapkan
undang-undang yang mesti dituruti oleh anak-anaknya. Contohnya, anak-anak
mereka hendaklah balik ke rumah sebelum jam enam petang dan mestilah makan malam
bersama-sama keluarga. Tindakan yang sebegini dipandang remeh oleh sesetengah
pihak kerana merasakan perkara ini tidak penting. Namun, perkara yang dianggap
remeh inilah yang mampu membentuk anak-anak sejak dari kecil lagi.
Bagi umat
Islam, rumah ibadat yang paling penting
ialah masjid. Di sinilah umat Islam sering berkumpul untuk menyembah Allah
secara berjamaah. Sebab itulah di mana sahaja dalam negara umat Islam; bahkan
di kota-kota besar dunia terdapat bangunan masjid yang berbagai bentuk dan
rupa. Masjid sentiasa menjadi lambang kemegahan umat dan pemerintah Islam.
Sebagai tempat ibadah masjid mempunyai peranan dan pengaruh yang besar dalam
meneruskan penghayatan nilai-nilai akhlak dalam masyarakat Islam. Kelangsungan
budaya, cara hidup dan syiar Islam lumrahnya diperkukuhkan oleh institusi ini.
Sebab itu perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W ketika baginda
berhijrah ke Madinah al Munauwarah ialah membina Masjid Quba' dan Masjid
Nabawi.
Ilmu yang
dipelajari di masjid pada masa dahulu bersepadu dengan nilai tauhid, roh Islam
dan akhlak. Ia mengimbaukan ketakwaan dan mengukuhkan ubudiah manusia kepada
Allah . Ilmu yang dipelajar membawa berkat dan meningkatkan ciri khasyatullah
atau takut kepada Allah. Sebab itu lahir para ulama dan ilmuan yang jujur,
soleh dan dedikasi. Apabila semangat dan imbauan seperti ini sudah tiada lagi
ilmu disalut dengan semangat kebendaan dan keserakahan manusia. Sebab itu
muncullah ilmuan-ilmuan sekular yang amat benci kepada Islam dan perkara inilah
yang menyebabkan pelbagai masalah seperti gejala sosial.
Terdapat
berbagai-bagai bentuk kegiatan keilmuan, kebudayaan dan kemasyarakatan yang
boleh dijalankan di dalam atau di pekarangan masjid untuk tujuan mengukuhkan
akhlak dan sahsiah umat . Antaranya ialah:
·
Kelas Fardu Ain
·
Kelas Tajwid & Qiraat.
·
Kelas Bimbingan Remaja.
·
Ceramah Berkala.
·
Seminar Motivasi dan Pembentukan Sahsiah.
·
Kursus Rumahtangga Bahagia.
·
Kursus Pengurusan Jenazah.
·
Madrasah atau Sistem Pengajian Formal.
·
Kursus Dakwah dan Imamah.
·
Acara Tadarus al-Quran.
Kesimpulannya, seluruh
agensi sosial, Jentera Kerajaan, Kementerian dan Badan-badan Berkanun, NGO dan
Badan-badan Korporat, swasta dan awam hendaklah digembeleng untuk bersama-sama
berperanan meningkatkan kualiti akhlak umat seterusnya membendung serta
menyelamatkan remaja-remaja kita daripada gejala-gejala yang negatif.
No comments:
Post a Comment