Isu Gejala Sosial

Berbagai-bagai ragam krisis akhlak dan moral kini terus menular, merebak dan mewabak dalam masyarakat kita khasnya di kalangan remaja. Daripada kes bohsia, hamil luar nikah yang diikuti dengan pembuangan zuriat di dalam tong sampah, penderaan, gengsterisme dan vandalisme, rogol, sumbang mahram, ketagihan dadah, hinggalah kepada mat rempit.

Ternyata bahawa pendidikan moral kita dengan enam belas nilai teras, pendidikan sivik, pendidikan Islam, pendidikan jarak jauh dan sebagainya; masih jauh untuk dapat menangani kegawatan dan kemerosotan dalam bidang ini. Faktor-faktor tertentu seperti mencari kepuasan nafsu, ingin membebaskan diri dari kemiskinan,kongsi gelap, dadah, bertelingkah dengan ibu bapa, gagal dalam peperiksaan, bosan duduk di rumah, trauma akibat perbuatan seks dan sebagainya rupa-rupanya lebih berpengaruh dari asuhan institusi pendidikan yang sedia ada.

Antara faktor berlakunya gejala yang tidak sihat ni ialah sikap keluarga. Dalam hal ini keluarga juga ada kalanya menjadi pendorong bertambahnya gejala sosial di kalangan remaja. Saya tidak katakan semua keluarga. Apa yang dimaksudkan ialah keluarga yang mengamalkan sikap terlalu mengongkong atau terlalu memberikan kebebasan kepada para remaja”

Keluarga yang terlalu mengongkong ialah keluarga yang mengamalkan sikap terlalu tertutup. Maksudnya keluarga itu seolah-olah telah menetapkan suatu undang-undang atau peraturan yang perlu diikuti oleh setiap ahli keluarga tanpa kompromi. Keadaan ini boleh menyebabkan jiwa remaja memberontak dan jika berpeluang keluar dari keadaan itu mereka akan melakukan apa sahaja yang terlintas di fikiran tanpa berfikir panjang. Manakala keluarga yang terlalu memberikan kebebasan ini biasanya bersikap terbuka yang keterlaluan. Di dalam keluarga sebegini, tiada suatu peraturan atau ketetapan khusus yang diamalkan. Keadaan ini juga tidak baik kerana para remaja perlukan sesuatu yang boleh dijadikan panduan untuk menjalani kehidupan mereka. Tanpa panduan, belum tentu mereka dapat melalui kehidupan ini dengan baik dan sempurna.

Media massa juga menjadi penyumbang kepada berlakunya gejala sosial di kalangan para remaja hari ini. Namun tidak semuanya apa yang dipaparkan di media massa itu memberikan kesan yang buruk. Namun, ada segelintir program-program dan drama-drama yang memaparkan pergaulan bebas di kalangan remaja, program-program realiti tv serta rancangan-rancangan yang bersifat hiburan semata-mata mempengaruhi para remaja dengan perkara yang tidak baik. Umpamanya corak pergaulan remaja yang jauh dari nilai-nilai ketimuran, cara berpakaian yang kurang sopan dan gaya hidup yang mengikut cara barat.

Selain itu, faktor rakan sebaya juga boleh menyebabkan berlakunya gejala sosial. Kawan-kawan menjadi orang yang rapat dengan mereka. Kawan yang baik, boleh membimbing mereka kepada kebaikan, namun jika tersilap memilih kawan, akan mempengaruhi mereka kepada perkara-perkara yang buruk. Selain itu  sikap remaja turut menyumbang kepada gejala sosial, kadangkala mereka ini terlalu mudah mempercayai orang lain. Umpamanya, jika mereka merasakan rakan-rakan mereka lebih rapat dan lebih memahami, dengan mudah mereka akan mengikut apa yang dilakukan oleh rakan-rakan. Mereka lupa bahawa kawan juga kadangkala boleh makan kawan. Dalam keadaan ini ramai para remaja terjerumus ke dalam gejala sosial oleh sebab terpengaruh dengan rakan mereka.

Berdasarkan pengalaman dan pendapat saya, antara usaha yang boleh dilakukan untuk mengawal gejala sosial ini ialah peranan kuasa negara Islam melalui sistem keadilan dan galakannya. Tuntutan akhlak dan nilai-nilainya tidak akan bermaya tanpa digandingi oleh kuasa atau autoriti yang menguatkuasakan nilai-nilai tersebut. Oleh kerana itu, antara tanggungjawab negara Islam ialah mewujudkan mekanisme dan jentera-jentera pentadbiran yang dapat beroperasi untuk memastikan ketertiban serta penghayatan kaedah-kaedah akhlak Islam dalam masyarakat. Negara-negara Islam sepatutnya menguatkuasakan undang-undang Islam dan mewujudkan persekitaran dan pengamalan budaya-budaya Islam di seluruh negara. Jika negara tidak melaksanakan amanah ini kerana ia tidak berlandaskan sistem perlembagaan dan undang-undang Islam sudah pasti keadaan akhlak umat akan lebih parah dan malang. Melalui puluhan kementerian, badan-badan berkanun, agensi-agensi kerajaan akhlak Islam akan digugat dan dihakis. Amalan pemerintahan yang tidak adil menjanjikan kemusnahan bukan hanya dalam bidang akhlak tetapi juga dalam semua perkara yang melibatkan ummah.

Selain itu, tekanan sosial daripada masyarakat juga dapat membendung gejala ini dalam kalangan remaja. Antara mekanisme yang digunakan oleh Islam dalam membentuk penganutnya serta memastikan mereka melaksanakan kelakuan berakhlak ialah wujudnya komuniti sosial yang komited dengan dasar dan prinsip-prinsip Islam. Masyarakat Islam yang mempunyai impak yang besar dan pengaruh yang kuat dalam memaksa individu mengamalkan atau menurut nilai dan norma-norma akhlak. Mereka boleh melaksanakan tekanan moral yang berkesan untuk mendisplinkan golongan yang berkecenderungan untuk melakukan kejahatan. Manusia memang suka dipuji, dihormati dan disanjung. Manusia juga takut dikeji dan dicemuh oleh kumpulan di mana ia mempunyai perasaan bangga kepada mereka. Faktor-faktor tersebut adalah anak kunci yang sedikit sebanyak menentukan tindak-tanduk seseorang. Masyarakat Islam yang aktif boleh berperanan menyuburkan semangat dan amalan hidup berakhlak. Ia juga boleh membendung trend-trend kufur dan maksiat dalam masyarakat melalui perlaksanaan amal mak'ruf dan nahi mungkar. Apabila masyarakat kehilangan keprihatinannya terhadap kewajipan menegakkan makruf dan mencegah yang mungkar, maka bermulalah proses penghakisan moral, akhlak dan martabat umat berkenaan.

Golongan remaja juga hendaklah meletakkan mereka dalam persekitaran yang mengamalkan nilai-nilai dan cara hidup Islam. Persekitaran sosial dan budaya kerap mempengaruhi manusia. Persekitaran tersebut merangkumi tradisi, model tingkah-laku dan saranan serta rangsangan yang bersifat akhlak. Persekitaran Islam akan menjadikan tingkah laku yang berakhlak sebagai norma-norma masyarakat. Manusia memang sering terpengaruh kepada persekitarannya dengan cara meniru serta mencontohi insan yang disanjungi oleh mereka. Kewujudan seseorang dalam lingkungan masyarakat yang baik serta soleh sudah tentu akan menyebabkan ia beriltizam dengan amalan dan etika yang dihayati oleh kumpulan tersebut. Ia akan berusaha melaksanakan sesuatu yang disanjungi oleh masyarakatnya. Sebaliknya, perbuatan yang dianggap keji oleh lingkungannya, ia akan berusaha sedaya upaya untuk menghindarinya.

Seterusnya, ibu bapa hendaklah memainkan peranan mereka dalam mendidik anak-anak mengikut acuan Islam. Gejala sosial dalam kalangan remaja ini dapat dibendung ketika anak masih kecil lagi. Ibu bapa hendaklah mengawal segala pergerakan anak-anak mereka. Mereka hendaklah mengambil berat tentang latar belakang rakan sebaya anaknya. Mereka juga hendaklah mengambil tahu ke mana anaknya pergi dan apa yang dilakukan oleh anaknya semasa berada di luar rumah. Ibu bapa hendaklah menetapkan undang-undang yang mesti dituruti oleh anak-anaknya. Contohnya, anak-anak mereka hendaklah balik ke rumah sebelum jam enam petang dan mestilah makan malam bersama-sama keluarga. Tindakan yang sebegini dipandang remeh oleh sesetengah pihak kerana merasakan perkara ini tidak penting. Namun, perkara yang dianggap remeh inilah yang mampu membentuk anak-anak sejak dari kecil lagi.

Bagi umat Islam, rumah ibadat yang paling penting ialah masjid. Di sinilah umat Islam sering berkumpul untuk menyembah Allah secara berjamaah. Sebab itulah di mana sahaja dalam negara umat Islam; bahkan di kota-kota besar dunia terdapat bangunan masjid yang berbagai bentuk dan rupa. Masjid sentiasa menjadi lambang kemegahan umat dan pemerintah Islam. Sebagai tempat ibadah masjid mempunyai peranan dan pengaruh yang besar dalam meneruskan penghayatan nilai-nilai akhlak dalam masyarakat Islam. Kelangsungan budaya, cara hidup dan syiar Islam lumrahnya diperkukuhkan oleh institusi ini. Sebab itu perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W ketika baginda berhijrah ke Madinah al Munauwarah ialah membina Masjid Quba' dan Masjid Nabawi.

Ilmu yang dipelajari di masjid pada masa dahulu bersepadu dengan nilai tauhid, roh Islam dan akhlak. Ia mengimbaukan ketakwaan dan mengukuhkan ubudiah manusia kepada Allah . Ilmu yang dipelajar membawa berkat dan meningkatkan ciri khasyatullah atau takut kepada Allah. Sebab itu lahir para ulama dan ilmuan yang jujur, soleh dan dedikasi. Apabila semangat dan imbauan seperti ini sudah tiada lagi ilmu disalut dengan semangat kebendaan dan keserakahan manusia. Sebab itu muncullah ilmuan-ilmuan sekular yang amat benci kepada Islam dan perkara inilah yang menyebabkan pelbagai masalah seperti gejala sosial.

Terdapat berbagai-bagai bentuk kegiatan keilmuan, kebudayaan dan kemasyarakatan yang boleh dijalankan di dalam atau di pekarangan masjid untuk tujuan mengukuhkan akhlak dan sahsiah umat . Antaranya ialah:

·         Kelas Fardu Ain
·         Kelas Tajwid & Qiraat.
·         Kelas Bimbingan Remaja.
·         Ceramah Berkala.
·         Seminar Motivasi dan Pembentukan Sahsiah.
·         Kursus Rumahtangga Bahagia.
·         Kursus Pengurusan Jenazah.
·         Madrasah atau Sistem Pengajian Formal.
·         Kursus Dakwah dan Imamah.
·         Acara Tadarus al-Quran.

Kesimpulannya, seluruh agensi sosial, Jentera Kerajaan, Kementerian dan Badan-badan Berkanun, NGO dan Badan-badan Korporat, swasta dan awam hendaklah digembeleng untuk bersama-sama berperanan meningkatkan kualiti akhlak umat seterusnya membendung serta menyelamatkan remaja-remaja kita daripada gejala-gejala yang negatif.