Tindakan Guru Dalam Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25)

Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25)
Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) merupakan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia yang memfokuskan aspek kemenjadian murid dan sekolah yang berkualiti tinggi selaras dengan keperluan semasa pendidikan di Malaysia. Melalui TS25, guru-guru hendaklah mengaplikasikan amalan terbaik dalam pelaksanaan pengurusan dan kepimpinan serta pedagogi dalam pembelajaran dan pemudahcaraan (Pdpc) selari dengan hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Pihak kementerian telah meletakkan tiga objektif Program Transformasi Sekolah 2025 iaitu pengaplikasian konsep dan amalan pembelajaran dan pemudahcaraan yang terbaik. Seterusnya ialah membangunkan kepakaran dalaman melalui latihan komprehensif dan membangunkan persekitaran yang berkesan dengan mengutamakan kemenjadian murid. Sehubungan dengan itu, matlamat-matlamat yang perlu dicapai dalam Program Transfromasi Sekolah pula merangkumi pemantapan kepimpinan sekolah, memaksimakan potensi guru melalui peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran serta mengukuhkan penglibatan anggota komuniti setempat demi kejayaan murid.



Tindakan yang perlu dilakukan oleh guru novis bagi menjayakan Program Transformasi Sekolah TS25

Mengaplikasikan pengajaran dan pembelajaran abad ke-21
Guru-guru novis yang masih baru dan semangat berkobar-kobar ini seharusnya mengaplikasikan pembelajaran abad ke 21 dalam pengajaran dan pembelajaran mereka. Guru novis perlu memaksimakan penglibatan murid-murid dalam pengajarannya. Oleh itu, elemen 4K dan 1N dalam pengajaran dan pembelajaran abad ke 21 sekali gus dapat memaksimakan penglibatan murid di dalam kelas.
4K dan 1N merujuk kepada komunikasi, kolaborasi, kreativiti, kritis dan nilai. Komunikasi di sini dimaksudkan adalah pengajaran guru tersebut hendaklah aktif dan wujudnya komunikasi dua hala antara guru dan murid ataupun antara murid dan murid. Pengajaran yang memerlukan murid melakukan pembentangan sesuatu projek akan lebih menarik dan berkesan kerana murid terlibat sepenuhnya dan guru hanya bertindak sebagai fasilitator. Penglibatan murid secara langsung ini seterusnya dapat memberi peluang kepada murid untuk mencuba dan mengutarakan pendapatnya tentang sesuatu perkara.
Selain itu, elemen kedua adalah kolaborasi iaitu pengajaran yang memerlukan murid membuat perbincangan dalam kumpulan mereka. Contohnya, guru mewujudkan satu situasi atau permasalahan yang perlu diselesaikan oleh murid dalam kumpulan mereka. Setelah perbincangan berlaku, murid dikehendaki menjelaskan solusi yang mereka hasilkan kepada rakan-rakan yang lain. Kolaborasi ini secara tidak langsung memerlukan murid menyuarakan pendapat mereka mengikut kreativiti masing-masing. Disamping itu, mereka boleh mengkritik secara kritis idea-idea yang dilontarkan oleh rakan-rakan mereka. Oleh itu, pengajaran seperti ini lebih menarik dan berkesan kerana murid-murid merupakan penggerak utama dalam pengajaran dan pembelajaran tersebut.
Seterusnya, guru novis seharusnya sentiasa menerapkan nilai-nilai murni kepada murid semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung mahupun di luar bilik darjah. Kemenjadian murid adalah secara holistik termasuk sahsiah murid. Kecemerlangan akademik tanpa nilai-nilai yang positif dalam diri seseorang murid akan menyebabkan goyahnya semangat dan jati diri mereka di yang masa akan datang. Oleh itu, Program Transformasi Sekolah ini dilancarkan untuk melahirkan modal insan unggul yang cemerlang secara menyeluruh untuk mencapai hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Guru novis perlu memaksimakan potensi mereka dalam meningkatkan kualiti pengajaran
Guru novis merupakan guru permulaan yang baru sahaja memulakan perkhidmatan mereka. Guru novis juga adalah guru yang mempunyai tempoh perkhidmatan yang belum mencapai 5 tahun. Oleh itu, guru-guru novis perlu menyumbangkan sepenuh komitmen dan tenaga untuk menaik taraf kemahiran pengajaran mereka. Guru-guru novis perlu belajar untuk melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran secara berkesan. Menurut Abu Bakar (1994) dalam Chee Kim Mang (2008) pula mendapati bahawa guru permulaan lemah dalam hal pengurusan kokurikulum dan sukan. Sementara di dalam kelas, mereka kurang yakin mengawal disiplin kelas dan tidak dapat mengamalkan teori pedagogi yang dipelajari.Sehubungan dengan itu, mereka perlu banyak bertanya kepada guru-guru yang telah lama berkhidmat yang telah mencapai status guru pakar atau menghadiri seminar-seminar pendidikan yang dianjurkan oleh pejabat-pejabat pendidikan.
Guru novis perlu memantapkan pengetahuan mereka tentang kaedah-kaedah, teknik-teknik dan strategi pengajaran supaya pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan adalah bersifat pelbagai. Tambahan pula, sekolah-sekolah pada masa kini tidak lagi mengasingkan murid-murid mengikut tahap pencapaian semasa peperiksaan. Guru-guru akan berhadapan dengan murid-murid yang pelbagai tahap pencapaian dan kemampuan mereka dalam bilik darjah. Guru perlu menggunakan pelbagai kaedah dan strategi semasa melaksanakan sesi pengajaran. Oleh itu, pengetahuan guru yang mantap dalam amalan pedagogi amat diperlukan pada masa kini untuk memastikan kualiti pengajaran dan fokus kepada kemenjadian murid terjamin.  
Selain itu, guru novis juga perlu menambah pengetahuan mereka tentang kurikulum dan sukatan pelajaran yang ingin disampaikan kepada murid. Pengetahuan mereka tentang sukatan pelajaran perlu meluas dan terperinci untuk mengelakkan info-info penting yang perlu disampaikan kepada murid tidak tercicir. Menurut Cohen, Raudenbush dan Ball (2003) dalam Khalid Johari et al. (2009), bukti-bukti statistik menunjukkan bahawa amalan pengajaran yang disertai dengan pengetahuan dan tindakan memberi pengaruh terhadap pembelajaran murid. Oleh itu, guru-guru novis perlu mengukuhkan pengetahuan mereka supaya proses pengajaran mereka dapat menghasilkan pembelajaran murid yang lebih bermakna.

Membudayakan amalan Penyelidikan
Guru adalah jentera utama dalam bidang pendidikan di Malaysia. Guru-guru seharusnya memiliki sikap ingin tahu yang tinggi dalam meningkatkan amalan profesional dan juga kualiti pengajaran untuk membangunkan modal insan yang unggul di Negara kita. Oleh itu, guru-guru hendaklah membudayakan amalan penyelidikan dalam tugas harian mereka. Penyelidikan yang dijalankan ini hendaklah difokuskan kepada peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran bermakna kepada murid-murid.
            Guru-guru novis yang masih baru dalam bidang pendidikan perlu menceburkan diri mereka sebagai salah satu cara untuk belajar dan menambah pengetahuan yang baru. Menurut Ramlan Zainal Abidin et al (2008), Pendidikan sepanjang hayat bermatlamat untuk meningkatkan kualiti kehidupan individu dan masyarakat. Oleh itu, guru-guru perlu terus belajar dan melakukan penyelidikan untuk meningkatkan kualiti pengajaran mereka seterusnya menjadikan pembelajaran murid lebih bermakna. Hal ini kerana, penyelidikan merupakan satu cabang untuk guru-guru terutamanya guru novis menimba ilmu pengetahuan untuk menaik taraf ilmu-ilmu yang telah ada buat masa kini. Penemuan-penemuan terbaru dalam penyelidikan dapat membantu guru-guru yang lain dalam meningkatkan kualiti pengajaran mereka dan menjadikan pendidikan di Malaysia setaraf dengan Negara-negara maju yang lain.
        Guru-guru novis yang menceburkan diri dalam bidang penyelidikan ini lebih mudah untuk menerima ilmu-ilmu yang baru kerana sikap ingin tahu yang tinggi dalam diri mereka. Mereka sering membuat refleksi terhadap amalan-amalan harian mereka dan bertindak untuk mengatasi masalah yang dihadapi. Contohnya, seorang guru melakukan refleksi pengajarannya yang tidak dapat difahami oleh murid-murid. Guru tersebut akan mencari punca yang menyebabkan murid tidak dapat memahami pengajarannya seterusnya mencari jalan penyelesaian kepada masalah tersebut. Guru-guru yang suka menjalankan penyelidikan ini lebih mudah memperbaiki amalan untuk menjayakan Program Transformasi Sekolah 2025 dari aspek kemenjadian murid dan mewujudkan pembelajaran bermakna.

1 comment: