Isu Gejala Sosial

Berbagai-bagai ragam krisis akhlak dan moral kini terus menular, merebak dan mewabak dalam masyarakat kita khasnya di kalangan remaja. Daripada kes bohsia, hamil luar nikah yang diikuti dengan pembuangan zuriat di dalam tong sampah, penderaan, gengsterisme dan vandalisme, rogol, sumbang mahram, ketagihan dadah, hinggalah kepada mat rempit.

Ternyata bahawa pendidikan moral kita dengan enam belas nilai teras, pendidikan sivik, pendidikan Islam, pendidikan jarak jauh dan sebagainya; masih jauh untuk dapat menangani kegawatan dan kemerosotan dalam bidang ini. Faktor-faktor tertentu seperti mencari kepuasan nafsu, ingin membebaskan diri dari kemiskinan,kongsi gelap, dadah, bertelingkah dengan ibu bapa, gagal dalam peperiksaan, bosan duduk di rumah, trauma akibat perbuatan seks dan sebagainya rupa-rupanya lebih berpengaruh dari asuhan institusi pendidikan yang sedia ada.

Antara faktor berlakunya gejala yang tidak sihat ni ialah sikap keluarga. Dalam hal ini keluarga juga ada kalanya menjadi pendorong bertambahnya gejala sosial di kalangan remaja. Saya tidak katakan semua keluarga. Apa yang dimaksudkan ialah keluarga yang mengamalkan sikap terlalu mengongkong atau terlalu memberikan kebebasan kepada para remaja”

Keluarga yang terlalu mengongkong ialah keluarga yang mengamalkan sikap terlalu tertutup. Maksudnya keluarga itu seolah-olah telah menetapkan suatu undang-undang atau peraturan yang perlu diikuti oleh setiap ahli keluarga tanpa kompromi. Keadaan ini boleh menyebabkan jiwa remaja memberontak dan jika berpeluang keluar dari keadaan itu mereka akan melakukan apa sahaja yang terlintas di fikiran tanpa berfikir panjang. Manakala keluarga yang terlalu memberikan kebebasan ini biasanya bersikap terbuka yang keterlaluan. Di dalam keluarga sebegini, tiada suatu peraturan atau ketetapan khusus yang diamalkan. Keadaan ini juga tidak baik kerana para remaja perlukan sesuatu yang boleh dijadikan panduan untuk menjalani kehidupan mereka. Tanpa panduan, belum tentu mereka dapat melalui kehidupan ini dengan baik dan sempurna.

Media massa juga menjadi penyumbang kepada berlakunya gejala sosial di kalangan para remaja hari ini. Namun tidak semuanya apa yang dipaparkan di media massa itu memberikan kesan yang buruk. Namun, ada segelintir program-program dan drama-drama yang memaparkan pergaulan bebas di kalangan remaja, program-program realiti tv serta rancangan-rancangan yang bersifat hiburan semata-mata mempengaruhi para remaja dengan perkara yang tidak baik. Umpamanya corak pergaulan remaja yang jauh dari nilai-nilai ketimuran, cara berpakaian yang kurang sopan dan gaya hidup yang mengikut cara barat.

Selain itu, faktor rakan sebaya juga boleh menyebabkan berlakunya gejala sosial. Kawan-kawan menjadi orang yang rapat dengan mereka. Kawan yang baik, boleh membimbing mereka kepada kebaikan, namun jika tersilap memilih kawan, akan mempengaruhi mereka kepada perkara-perkara yang buruk. Selain itu  sikap remaja turut menyumbang kepada gejala sosial, kadangkala mereka ini terlalu mudah mempercayai orang lain. Umpamanya, jika mereka merasakan rakan-rakan mereka lebih rapat dan lebih memahami, dengan mudah mereka akan mengikut apa yang dilakukan oleh rakan-rakan. Mereka lupa bahawa kawan juga kadangkala boleh makan kawan. Dalam keadaan ini ramai para remaja terjerumus ke dalam gejala sosial oleh sebab terpengaruh dengan rakan mereka.

Berdasarkan pengalaman dan pendapat saya, antara usaha yang boleh dilakukan untuk mengawal gejala sosial ini ialah peranan kuasa negara Islam melalui sistem keadilan dan galakannya. Tuntutan akhlak dan nilai-nilainya tidak akan bermaya tanpa digandingi oleh kuasa atau autoriti yang menguatkuasakan nilai-nilai tersebut. Oleh kerana itu, antara tanggungjawab negara Islam ialah mewujudkan mekanisme dan jentera-jentera pentadbiran yang dapat beroperasi untuk memastikan ketertiban serta penghayatan kaedah-kaedah akhlak Islam dalam masyarakat. Negara-negara Islam sepatutnya menguatkuasakan undang-undang Islam dan mewujudkan persekitaran dan pengamalan budaya-budaya Islam di seluruh negara. Jika negara tidak melaksanakan amanah ini kerana ia tidak berlandaskan sistem perlembagaan dan undang-undang Islam sudah pasti keadaan akhlak umat akan lebih parah dan malang. Melalui puluhan kementerian, badan-badan berkanun, agensi-agensi kerajaan akhlak Islam akan digugat dan dihakis. Amalan pemerintahan yang tidak adil menjanjikan kemusnahan bukan hanya dalam bidang akhlak tetapi juga dalam semua perkara yang melibatkan ummah.

Selain itu, tekanan sosial daripada masyarakat juga dapat membendung gejala ini dalam kalangan remaja. Antara mekanisme yang digunakan oleh Islam dalam membentuk penganutnya serta memastikan mereka melaksanakan kelakuan berakhlak ialah wujudnya komuniti sosial yang komited dengan dasar dan prinsip-prinsip Islam. Masyarakat Islam yang mempunyai impak yang besar dan pengaruh yang kuat dalam memaksa individu mengamalkan atau menurut nilai dan norma-norma akhlak. Mereka boleh melaksanakan tekanan moral yang berkesan untuk mendisplinkan golongan yang berkecenderungan untuk melakukan kejahatan. Manusia memang suka dipuji, dihormati dan disanjung. Manusia juga takut dikeji dan dicemuh oleh kumpulan di mana ia mempunyai perasaan bangga kepada mereka. Faktor-faktor tersebut adalah anak kunci yang sedikit sebanyak menentukan tindak-tanduk seseorang. Masyarakat Islam yang aktif boleh berperanan menyuburkan semangat dan amalan hidup berakhlak. Ia juga boleh membendung trend-trend kufur dan maksiat dalam masyarakat melalui perlaksanaan amal mak'ruf dan nahi mungkar. Apabila masyarakat kehilangan keprihatinannya terhadap kewajipan menegakkan makruf dan mencegah yang mungkar, maka bermulalah proses penghakisan moral, akhlak dan martabat umat berkenaan.

Golongan remaja juga hendaklah meletakkan mereka dalam persekitaran yang mengamalkan nilai-nilai dan cara hidup Islam. Persekitaran sosial dan budaya kerap mempengaruhi manusia. Persekitaran tersebut merangkumi tradisi, model tingkah-laku dan saranan serta rangsangan yang bersifat akhlak. Persekitaran Islam akan menjadikan tingkah laku yang berakhlak sebagai norma-norma masyarakat. Manusia memang sering terpengaruh kepada persekitarannya dengan cara meniru serta mencontohi insan yang disanjungi oleh mereka. Kewujudan seseorang dalam lingkungan masyarakat yang baik serta soleh sudah tentu akan menyebabkan ia beriltizam dengan amalan dan etika yang dihayati oleh kumpulan tersebut. Ia akan berusaha melaksanakan sesuatu yang disanjungi oleh masyarakatnya. Sebaliknya, perbuatan yang dianggap keji oleh lingkungannya, ia akan berusaha sedaya upaya untuk menghindarinya.

Seterusnya, ibu bapa hendaklah memainkan peranan mereka dalam mendidik anak-anak mengikut acuan Islam. Gejala sosial dalam kalangan remaja ini dapat dibendung ketika anak masih kecil lagi. Ibu bapa hendaklah mengawal segala pergerakan anak-anak mereka. Mereka hendaklah mengambil berat tentang latar belakang rakan sebaya anaknya. Mereka juga hendaklah mengambil tahu ke mana anaknya pergi dan apa yang dilakukan oleh anaknya semasa berada di luar rumah. Ibu bapa hendaklah menetapkan undang-undang yang mesti dituruti oleh anak-anaknya. Contohnya, anak-anak mereka hendaklah balik ke rumah sebelum jam enam petang dan mestilah makan malam bersama-sama keluarga. Tindakan yang sebegini dipandang remeh oleh sesetengah pihak kerana merasakan perkara ini tidak penting. Namun, perkara yang dianggap remeh inilah yang mampu membentuk anak-anak sejak dari kecil lagi.

Bagi umat Islam, rumah ibadat yang paling penting ialah masjid. Di sinilah umat Islam sering berkumpul untuk menyembah Allah secara berjamaah. Sebab itulah di mana sahaja dalam negara umat Islam; bahkan di kota-kota besar dunia terdapat bangunan masjid yang berbagai bentuk dan rupa. Masjid sentiasa menjadi lambang kemegahan umat dan pemerintah Islam. Sebagai tempat ibadah masjid mempunyai peranan dan pengaruh yang besar dalam meneruskan penghayatan nilai-nilai akhlak dalam masyarakat Islam. Kelangsungan budaya, cara hidup dan syiar Islam lumrahnya diperkukuhkan oleh institusi ini. Sebab itu perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W ketika baginda berhijrah ke Madinah al Munauwarah ialah membina Masjid Quba' dan Masjid Nabawi.

Ilmu yang dipelajari di masjid pada masa dahulu bersepadu dengan nilai tauhid, roh Islam dan akhlak. Ia mengimbaukan ketakwaan dan mengukuhkan ubudiah manusia kepada Allah . Ilmu yang dipelajar membawa berkat dan meningkatkan ciri khasyatullah atau takut kepada Allah. Sebab itu lahir para ulama dan ilmuan yang jujur, soleh dan dedikasi. Apabila semangat dan imbauan seperti ini sudah tiada lagi ilmu disalut dengan semangat kebendaan dan keserakahan manusia. Sebab itu muncullah ilmuan-ilmuan sekular yang amat benci kepada Islam dan perkara inilah yang menyebabkan pelbagai masalah seperti gejala sosial.

Terdapat berbagai-bagai bentuk kegiatan keilmuan, kebudayaan dan kemasyarakatan yang boleh dijalankan di dalam atau di pekarangan masjid untuk tujuan mengukuhkan akhlak dan sahsiah umat . Antaranya ialah:

·         Kelas Fardu Ain
·         Kelas Tajwid & Qiraat.
·         Kelas Bimbingan Remaja.
·         Ceramah Berkala.
·         Seminar Motivasi dan Pembentukan Sahsiah.
·         Kursus Rumahtangga Bahagia.
·         Kursus Pengurusan Jenazah.
·         Madrasah atau Sistem Pengajian Formal.
·         Kursus Dakwah dan Imamah.
·         Acara Tadarus al-Quran.

Kesimpulannya, seluruh agensi sosial, Jentera Kerajaan, Kementerian dan Badan-badan Berkanun, NGO dan Badan-badan Korporat, swasta dan awam hendaklah digembeleng untuk bersama-sama berperanan meningkatkan kualiti akhlak umat seterusnya membendung serta menyelamatkan remaja-remaja kita daripada gejala-gejala yang negatif.

Tips Untuk Bahagia


Semua orang impikan kebahagiaan dalam hidup mereka. Bahagia mengikut Kamus Dewan edisi keempat menyatakan bahawa bahagia merupakan perasaan yang tenang dan aman damai. Namun, definisi bahagia itu adalah berbeza dan tidak sama bagi setiap individu. Perbezaan ini disebabkan oleh gaya hidup, gaya pemikiran, latar belakang keluarga dan persepsi yang berbeza-beza oleh setiap individu. Ada individu yang merasakan bahagia dikurniakan keluarga yang baik-baik, ada juga individu yang bahagia walaupun dilahirkan sebagai anak tunggal. Ada yang berasa bahagia apabila mempunyai duit berjuta-juta ringgit sedangkan individu lain sudah bahagia kerana gajinya sentiasa cukup untuk mengisi perut keluarganya dan tidak pernah berlapar. Ada yang berasa bahagia jika berpangkat besar walaupun ada yang bahagia dengan sekadar orang biasa-biasa. Bahagia itu ada dalam setiap diri individu itu sendiri. Mungkin juga kebahagiaan yang dicari itu berada dalam diri insan kesayangan anda. hahaha

Tips 1: Sentiasa bersyukur & redha
Pertama sekali, kita perlu sentiasa bersyukur dengan apa yang telah kita miliki. Mungkin kita merasakan diri seorang yang ditimpa malang bertimpa-timpa tetapi bagaimana pula dengan orang lain yang ternyata lebih susah berbanding kita. Jika hidup kita senang tetapi tidak bersyukur nanti merungut juga. Ramai juga diluar sana yang hidup sekadar untung ada tuah tiada. Jadi kesenangan itu tidak menjamin kebahagiaan seseorang. Orang yang sentiasa bersyukur dan redha dengan segala ketentuan ilahi sudah tentu akan merasakan kebahagiaan dalam diri mereka. 

Tips2: Lakukan sesuatu pekerjaan untuk kepuasan diri sendiri
Seseorang yang inginkan kebahagiaan hendaklah seseorang yang cuba untuk melakukan sesuatu kerja adalah kerana diri sendiri. Bukan bermaksud kita pentingkan diri sendiri tetapi pekerjaan yang dibuat itu bukanlah untuk mengharapkan pujian ataupun pandangan orang lain terhadap kita. Kita tidak perlu untuk menagih perhatian dan pujian orang lain. Cukup sekadar perbuatan atau pekerjaan itu dapat menggembirakan hati kita dan sudah tentu tidak melanggar mana-mana hukum agama. kita tidak akan pernah bahagia jika melakukan sesuatu untuk dipandang gah oleh orang lain. contohnya, kita mengulangkaji pelajaran bukan untuk dipandang sebagai ulat buku ataupun sebagainya tetapi kita merasa puas apabila keputusan peperiksaan kita itu memberangsangkan.

Tips3: Kongsikan kebahagiaan dengan orang lain
Untuk merasai kebahagiaan juga anda boleh cuba kongsikan kebahagiaan itu bersama insan tersayang ataupun bersama orang sekeliling. Jangan pernah berkira untuk membahagiakan insan tersayang kerana kebahagiaanya juga adalah kebahagiaan kepada kita. Tangan yang memberi tu lebih baik daripada yang menerima. Sesekali cuba untuk gembirakan ibu bapa, isteri serta anak-anak sekadar yang termampu. Sebuah penghargaan itu tidak semestinya mahal, cukup untuk menunjukkan yang kita masih menyayangi mereka. Itupun sudah membuatkan mereka tersenyum sampai ke telinga. Ada juga yang bahagia apabila memberi orang makanan atau membayar makanan untuk sesorang yang tidak dikenali pun. contohnya, beri makanan kepada orang yang susah. anda dapat merasakan kebahagiaan dan kegembiraan apabila melihat mereka tersenyum. Tak percaya cubalah sendiri.

Tips4: Jangan bandingkan hidup anda dengan orang lain
JANGAN sesekali bandingkan hidup anda dengan orang lain. Semua orang menjalani hidup yang berbeza-beza sejak kecil lagi. Contohnya, setiap daripada kita dibesarkan dengan acuan yang berbeza mengikut ibu bapa kita sendiri. Sedangkan adik beradik anda yang dibesarkan dengan acuan yang sama pun menjalani hidup mereka sendiri dan tidak sama dengan yang lain. Perkara ini semakin menjadi-jadi dengan adanya laman-laman sosial seperti facebook, instagram dan sebagainya. Kita perlu tanamkan dalam diri bahawa apa yang ditunjukkan oleh orang lain di laman-laman sosial adalah hanya sisi baik mereka sahaja. Kita tidak tahu masalah dan dugaan yang dialami oleh mereka disebalik kejayaan mereka itu. Kalau kita tahu apa yang dihadapi oleh mereka pun mungkin benda itu dirasakan mustahil dan tidak tertanggung oleh kita. Jadi, hentikan sikap sering membandingkan hidup kita dengan orang lain. Cukup sekadar menjadi pembakar semangat untuk menjadi seperti mereka. Don't compare your Chapter 1 with someone else's Chapter 15. Follow your own path, wrote your own life story, and never give up on yourself.



     

Tindakan Guru Dalam Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25)

Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25)
Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) merupakan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia yang memfokuskan aspek kemenjadian murid dan sekolah yang berkualiti tinggi selaras dengan keperluan semasa pendidikan di Malaysia. Melalui TS25, guru-guru hendaklah mengaplikasikan amalan terbaik dalam pelaksanaan pengurusan dan kepimpinan serta pedagogi dalam pembelajaran dan pemudahcaraan (Pdpc) selari dengan hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Pihak kementerian telah meletakkan tiga objektif Program Transformasi Sekolah 2025 iaitu pengaplikasian konsep dan amalan pembelajaran dan pemudahcaraan yang terbaik. Seterusnya ialah membangunkan kepakaran dalaman melalui latihan komprehensif dan membangunkan persekitaran yang berkesan dengan mengutamakan kemenjadian murid. Sehubungan dengan itu, matlamat-matlamat yang perlu dicapai dalam Program Transfromasi Sekolah pula merangkumi pemantapan kepimpinan sekolah, memaksimakan potensi guru melalui peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran serta mengukuhkan penglibatan anggota komuniti setempat demi kejayaan murid.



Tindakan yang perlu dilakukan oleh guru novis bagi menjayakan Program Transformasi Sekolah TS25

Mengaplikasikan pengajaran dan pembelajaran abad ke-21
Guru-guru novis yang masih baru dan semangat berkobar-kobar ini seharusnya mengaplikasikan pembelajaran abad ke 21 dalam pengajaran dan pembelajaran mereka. Guru novis perlu memaksimakan penglibatan murid-murid dalam pengajarannya. Oleh itu, elemen 4K dan 1N dalam pengajaran dan pembelajaran abad ke 21 sekali gus dapat memaksimakan penglibatan murid di dalam kelas.
4K dan 1N merujuk kepada komunikasi, kolaborasi, kreativiti, kritis dan nilai. Komunikasi di sini dimaksudkan adalah pengajaran guru tersebut hendaklah aktif dan wujudnya komunikasi dua hala antara guru dan murid ataupun antara murid dan murid. Pengajaran yang memerlukan murid melakukan pembentangan sesuatu projek akan lebih menarik dan berkesan kerana murid terlibat sepenuhnya dan guru hanya bertindak sebagai fasilitator. Penglibatan murid secara langsung ini seterusnya dapat memberi peluang kepada murid untuk mencuba dan mengutarakan pendapatnya tentang sesuatu perkara.
Selain itu, elemen kedua adalah kolaborasi iaitu pengajaran yang memerlukan murid membuat perbincangan dalam kumpulan mereka. Contohnya, guru mewujudkan satu situasi atau permasalahan yang perlu diselesaikan oleh murid dalam kumpulan mereka. Setelah perbincangan berlaku, murid dikehendaki menjelaskan solusi yang mereka hasilkan kepada rakan-rakan yang lain. Kolaborasi ini secara tidak langsung memerlukan murid menyuarakan pendapat mereka mengikut kreativiti masing-masing. Disamping itu, mereka boleh mengkritik secara kritis idea-idea yang dilontarkan oleh rakan-rakan mereka. Oleh itu, pengajaran seperti ini lebih menarik dan berkesan kerana murid-murid merupakan penggerak utama dalam pengajaran dan pembelajaran tersebut.
Seterusnya, guru novis seharusnya sentiasa menerapkan nilai-nilai murni kepada murid semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung mahupun di luar bilik darjah. Kemenjadian murid adalah secara holistik termasuk sahsiah murid. Kecemerlangan akademik tanpa nilai-nilai yang positif dalam diri seseorang murid akan menyebabkan goyahnya semangat dan jati diri mereka di yang masa akan datang. Oleh itu, Program Transformasi Sekolah ini dilancarkan untuk melahirkan modal insan unggul yang cemerlang secara menyeluruh untuk mencapai hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Guru novis perlu memaksimakan potensi mereka dalam meningkatkan kualiti pengajaran
Guru novis merupakan guru permulaan yang baru sahaja memulakan perkhidmatan mereka. Guru novis juga adalah guru yang mempunyai tempoh perkhidmatan yang belum mencapai 5 tahun. Oleh itu, guru-guru novis perlu menyumbangkan sepenuh komitmen dan tenaga untuk menaik taraf kemahiran pengajaran mereka. Guru-guru novis perlu belajar untuk melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran secara berkesan. Menurut Abu Bakar (1994) dalam Chee Kim Mang (2008) pula mendapati bahawa guru permulaan lemah dalam hal pengurusan kokurikulum dan sukan. Sementara di dalam kelas, mereka kurang yakin mengawal disiplin kelas dan tidak dapat mengamalkan teori pedagogi yang dipelajari.Sehubungan dengan itu, mereka perlu banyak bertanya kepada guru-guru yang telah lama berkhidmat yang telah mencapai status guru pakar atau menghadiri seminar-seminar pendidikan yang dianjurkan oleh pejabat-pejabat pendidikan.
Guru novis perlu memantapkan pengetahuan mereka tentang kaedah-kaedah, teknik-teknik dan strategi pengajaran supaya pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan adalah bersifat pelbagai. Tambahan pula, sekolah-sekolah pada masa kini tidak lagi mengasingkan murid-murid mengikut tahap pencapaian semasa peperiksaan. Guru-guru akan berhadapan dengan murid-murid yang pelbagai tahap pencapaian dan kemampuan mereka dalam bilik darjah. Guru perlu menggunakan pelbagai kaedah dan strategi semasa melaksanakan sesi pengajaran. Oleh itu, pengetahuan guru yang mantap dalam amalan pedagogi amat diperlukan pada masa kini untuk memastikan kualiti pengajaran dan fokus kepada kemenjadian murid terjamin.  
Selain itu, guru novis juga perlu menambah pengetahuan mereka tentang kurikulum dan sukatan pelajaran yang ingin disampaikan kepada murid. Pengetahuan mereka tentang sukatan pelajaran perlu meluas dan terperinci untuk mengelakkan info-info penting yang perlu disampaikan kepada murid tidak tercicir. Menurut Cohen, Raudenbush dan Ball (2003) dalam Khalid Johari et al. (2009), bukti-bukti statistik menunjukkan bahawa amalan pengajaran yang disertai dengan pengetahuan dan tindakan memberi pengaruh terhadap pembelajaran murid. Oleh itu, guru-guru novis perlu mengukuhkan pengetahuan mereka supaya proses pengajaran mereka dapat menghasilkan pembelajaran murid yang lebih bermakna.

Membudayakan amalan Penyelidikan
Guru adalah jentera utama dalam bidang pendidikan di Malaysia. Guru-guru seharusnya memiliki sikap ingin tahu yang tinggi dalam meningkatkan amalan profesional dan juga kualiti pengajaran untuk membangunkan modal insan yang unggul di Negara kita. Oleh itu, guru-guru hendaklah membudayakan amalan penyelidikan dalam tugas harian mereka. Penyelidikan yang dijalankan ini hendaklah difokuskan kepada peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran bermakna kepada murid-murid.
            Guru-guru novis yang masih baru dalam bidang pendidikan perlu menceburkan diri mereka sebagai salah satu cara untuk belajar dan menambah pengetahuan yang baru. Menurut Ramlan Zainal Abidin et al (2008), Pendidikan sepanjang hayat bermatlamat untuk meningkatkan kualiti kehidupan individu dan masyarakat. Oleh itu, guru-guru perlu terus belajar dan melakukan penyelidikan untuk meningkatkan kualiti pengajaran mereka seterusnya menjadikan pembelajaran murid lebih bermakna. Hal ini kerana, penyelidikan merupakan satu cabang untuk guru-guru terutamanya guru novis menimba ilmu pengetahuan untuk menaik taraf ilmu-ilmu yang telah ada buat masa kini. Penemuan-penemuan terbaru dalam penyelidikan dapat membantu guru-guru yang lain dalam meningkatkan kualiti pengajaran mereka dan menjadikan pendidikan di Malaysia setaraf dengan Negara-negara maju yang lain.
        Guru-guru novis yang menceburkan diri dalam bidang penyelidikan ini lebih mudah untuk menerima ilmu-ilmu yang baru kerana sikap ingin tahu yang tinggi dalam diri mereka. Mereka sering membuat refleksi terhadap amalan-amalan harian mereka dan bertindak untuk mengatasi masalah yang dihadapi. Contohnya, seorang guru melakukan refleksi pengajarannya yang tidak dapat difahami oleh murid-murid. Guru tersebut akan mencari punca yang menyebabkan murid tidak dapat memahami pengajarannya seterusnya mencari jalan penyelesaian kepada masalah tersebut. Guru-guru yang suka menjalankan penyelidikan ini lebih mudah memperbaiki amalan untuk menjayakan Program Transformasi Sekolah 2025 dari aspek kemenjadian murid dan mewujudkan pembelajaran bermakna.

Rancangan Pengajaran Harian KSSR

CABAR DIRI UNTUK BERJAYA


Kejayaan bukanlah suatu misteri yang tidak terungkap. Malah sekiranya seseorang itu telah melakukan sesuatu perkara maka orang lain pasti mampu melakukannya juga. Kita mungkin tidak bercita-cita terlalu tinggi seperti Datuk Azhar Mansor yang berlayar di lautan luas seorang diri; atau seperti Datuk Abdul Malek yang berenang merentasi Selat Inggeris; atau seperti Shalin Zulkifli yang menjadi ratu bowling negara; atau seperti Yap Sui Lin yang mendapat 16A dalam SPMnya. 

   Tetapi janganlah pula sekadar selesa dengan pencapaian yang biasa hingga tiada apa yang boleh dibanggakan oleh kita atau yang boleh diceritakan kepada anak cucu kita nanti. Sekurang-kurangnya, kalau kita sebagai pekerja maka berusahalah untuk menjadi pekerja yang cemerlang hingga menerima anugerah dari majikan. Kalau kita seorang usahawan binalah empayar perniagaan kita yang mampu diwarisi oleh anak cucu. Kalau kita sebagai seorang pelajar belajarlah dan berusahalah hingga sampai ke peringkat yang tertinggi.

   Kejayaan bolehlah ditakrifkan sebagai pencapaian seseorang menepati matlamat atau sasaran yang telah ditetapkan olehnya. Oleh itu kejayaan adalah suatu bentuk yang subjektif dan relatif dengan individu itu sendiri. Bagi seseorang usahawan, memperolehi pendapatan RM10,000 sebulan itu adalah menepati sasaran awalnya dan baginya ia adalah satu kejayaan. Tetapi RM10,000 ini mungkin suatu kegagalan bagi usahawan yang pada kebiasaannya mampu menjana pendapatan RM50,000 sebulan. Apabila kita tiba ke matlamat yang telah ditetapkan kita mula rasa selesa. Setelah beberapa ketika kita rasa tiada apa lagi yang mencabar di tahap tersebut. Kalau kita terus berada dalam zon selesa itu maka lambat laun kita akan gagal kerana orang lain sudah semakin maju. Oleh itu perlu bagi kita setelah mencapai satu sasaran, kemudiannya mencabar diri untuk maju ketahap yang seterusnya pula. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil untuk cabar diri bagi terus maju dalam kehidupan.

1. Letakkan Sasaran Yang Tinggi

Apabila satu matlamat dicapai maka teruslah menetapkan matlamat baru yang lebih tinggi lagi. Misalnya, dulunya sebagai seorang pelajar kita sering dapat nombor yang tercorot dalam kelas maka letaklah matlamat untuk meletakkan nama kita dalam 10 pelajar terbaik. Cabar diri untuk berusaha bersungguh-sungguh mencapai sasaran itu. Kalau satu hari kita berjaya merealisasikannya, maka mula letakkan sasaran baru untuk jadi pelajar nombor 1 pula. Kalau kita seorang usahawan maka letakkan sasaran untuk mengembangkan perniagaan kita ke seluruh pelusuk negeri bukan sekadar berniaga setempat sahaja. Kalau sasaran itu dicapai, cabar diri dengan sasaran baru untuk mengembangkan perniagaan ke seluruh negara dan tidak mustahil selepas itu sampai ke peringkat antarabangsa pula. Sasaran yang tinggi ini sentiasa membuatkan kita memandang ke depan. Hasilnya, tanpa kita sedari kita semakin hari semakin maju dalam bidang yang kita ceburi tersebut.

2. Cemburu Dengan Kejayaan Orang Lain

Lihat mereka yang lebih berjaya dari kita. Kalau orang lain boleh kita juga boleh. Untuk maju kita mesti cemburu dengan kejayaan orang lain dan cabar diri kita untuk berusaha lebih dari orang lain. Kalau kita tidak tahu bagaimana mahu melakukannya maka belajarlah dari mereka yang telah berjaya. Buka mulut dan bertanya. Jangan sekadar berdiam diri kerana tiada apa yang berlaku kalau kita tidak bertindak. Baca kisah-kisah kejayaan orang lain, hayati bagaimana mereka menghadapi cabaran dan menyusuri liku-liku kepayahan sebelum nama mereka tersohor. Sikap cemburu dengan kejayaan orang lain ini mestilah ditanam untuk membentuk suatu persaingan yang sihat bukannya cemburu yang membawa kepada sifat dengki dan irihati yang membuatkan kita mengambil langkah-langkah buruk menjatuhkan saingan kita. 

   Perasaan cemburu ini patut terbit lebih-lebih lagi apabila mereka yang lebih lemah, lebih muda, dan kurang upaya dari kita mampu mencapai satu pencapaian yang luar biasa.

   Saudara Abdul Halim, seorang yang kudung kaki dan tangannya tetapi boleh belajar masuk universiti, keluar sebagai akauntan, buka syarikat sendiri dan pernah terima anugerah daripada PM Malaysia. Tak cemburukah kita?

3. Elakkan Dari Sikap Cepat Puashati

Sikap cepat berpuashati adalah penyakit yang menghalang diri kita untuk terus berjaya. Apabila kita sudah meraih pendapatan RM10,000 sebulan kita mula rasa selesa dan kita berkata, “Aku ni kira oklah, berapa kerat sangat orang yang meraih pendapatan lima angka sebulan. Sekurang-kurangnya dah ada rumah sendiri berapa ramai lagi orang yang tidak mampu beli rumah. Kira ok lah aku ni… ”. Sikap puashati beginilah yang membuatkan kita berhenti untuk berusaha dan mencipta kejayaan yang lebih besar lagi. Kenapa tidak kita ambil contoh orang yang lebih berjaya dari kita? Kenapa sering membandingkan diri dengan orang yang lemah dan kurang dari kita? Bandinglah dengan mereka yang lebih berjaya, yang memiliki bangunan sendiri, yang menjadi jutawan, yang berkereta mewah, yang memiliki rumah-rumah untuk disewakan dan sebagainya maka barulah tercabar bahawa kita belum lagi OK! Jadi, usah lagi berpuashati dengan pencapaian kita kerana setiap kali kita berjaya maka kita pasti boleh pergi lebih jauh lagi. 


4. Soal Diri Dengan Soalan Positif

Untuk berjaya, soal diri dengan soalan-soalan yang positif. Misalnya, soalan-soalan seperti berikut hanya membawa diri kita untuk merasa lemah dan tidak berdaya:

Kenapalah aku gagal?
Mengapa nasib aku sentiasa malang?
Kenapalah orang semua tak suka aku?
Apalah nak jadi dengan aku ni?

   Sebaliknya soalan-soalan berikut pula akan membuatkan kita berfikir, mencabar diri dan membolehkan kita mengumpul kekuatan untuk atasi setiap halangan.

Apa yang belum aku lakukan lagi?
Bagaimana aku nak tingkatkan 20% lagi pendapatan aku bulan depan?
Apakah kelebihan diri aku yang belum aku bongkar lagi?
Dimana aku nak dapatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk maju dalam bidang ini?
Siapa yang boleh bantu aku?

   Jadi kita tidak berjaya kerana bertanyakan soalan yang salah kepada diri kita. Oleh itu berhati-hatilah dengan suara hati. Nilai betul-betul soalan yang kita tanyakan pada hati kita adakah ia akan mencabar kita untuk terus maju atau hanya melemahkan kita.

5. Tingkatkan ‘Standard’ Anda

Untuk berjaya kita kena cabar diri untuk tingkatkan ‘standard’ kita. Misalnya, kita berkata pada diri kita bahawa tidak ‘standard’lah untuk selama-lamanya jadi kerani, 5 tahun dari sekarang mesti nak jadi pengurus pula. Tidak ‘standard’ lah untuk selama-lamanya bekerja dengan orang, 10 tahun dari sekarang mesti jadi bos pula. Tidak ‘standard’ lah selama-lamanya dapat markah ‘C’, 3 bulan dari sekarang aku mesti dapat ‘A’ pula. Tidak ‘standard’ lah asyik bawa kereta Jepun aje, 5 tahun dari sekarang aku mesti nak bawa kereta Jerman pula. Tidak ‘standard’ lah untuk berumah teres sahaja, 10 tahun dari sekarang aku mesti nak ada rumah banglo pula. 

   Tujuannya bukan untuk menunjuk-nunjuk atau untuk takbur tetapi untuk membuatkan kita mahu berusaha lebih gigih lagi demi memenuhi tuntutan hidup kita yang mengikut ‘standard’ baru itu. Lagi pula kita tidak melafazkan kata-kata itu kepada orang lain tetapi kita tujukan kata-kata tersebut hanya kepada diri sendiri sebagai satu bentuk cabaran.

   Perlu diingatkan bahawa kita hanya boleh hidup dalam ‘standard’ yang lebih tinggi hanya setelah kita berjaya merealisasikan pendapatan yang mampu menampung ‘standard’ tersebut. Jangan pula menjadi orang yang papa asal bergaya.

   Malah Islam sendiri tidak menghalang umatnya untuk hidup selesa apabila punya kemampuan. Asal sahaja keselesaan itu tidak menghalang kita untuk terus menjadikan hidup ini sebagai suatu ibadah yang mengningkatkan lagi keimanan dan ketaqwaan kita. Oleh itu, teruslah cabar diri untuk berjaya dalam hidup kita.

Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam Majalah Cermin, Disember 2003